fbpx
PERANG Rusia-Ukraine memburukkan lagi krisis makanan yang telah berlaku di Palestin sejak 74 tahun lalu.

Krisis makanan dunia burukkan lagi keadaan Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh Muhd. Haikal Luqman Zulkefli

Krisis perang yang melibatkan dua negara, Ukraine dan Rusia nampaknya masih tidak menemui jalan penyelesaian apabila Rusia menyekat laluan perdagangan Ukraine sekali gus menyebabkan Ukraine tidak dapat melakukan eksport serta import bahan-bahan utama seperti minyak bunga matahari, gandum, jagung bijirin dan barli. Ini juga menyebabkan harga makanan dan bahan-bahan keperluan seperti yang disebutkan itu meningkat mahal.

Seperti yang diketahui, Ukraine adalah pengeksport dan pengimport terbesar untuk bahan seperti gandum dan jagung bijirin. Ini pasti akan memberi kesan yang besar kepada negara-negara yang menjadikan gandum sebagai makanan ruji termasuk Palestin, di mana sebanyak 90 peratus permintaan domestik untuk gandum datangnya melalui aktiviti import.

Secara keseluruhan, kebergantungan Palestin adalah sebanyak 32 peratus untuk pengimportan gandum.

Di Palestin, kesan daripada krisis yang terjadi ini dapat dilihat pada harga tepung gandum yang semakin mahal. Harga tepung gandum telah meningkat sebanyak 14 peratus di Tebing Barat dan 16 peratus di Semenanjung Gaza sejak bermulanya krisis di Ukraine walaupun pihak kerajaan Palestin berusaha untuk mengawal harga sedia ada.

GANDUM merupakan makanan ruji di Palestin jadi pergantungan kepada bahan ini amat tinggi.

Berdasarkan definisi konsep yang diberikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (2014), sekuriti makanan terdiri daripada tiga teras konsep yang utama, iaitu kebolehdapatan atau ketersediaan makanan, capaian makanan dan penggunaan makanan.

Secara asasnya, sekuriti makanan ini diterjemahkan sebagai jaminan makanan yang merujuk kepada jaminan ketersediaan makanan, jaminan capaian makanan dan jaminan penggunaan makanan.

Sementara itu, menurut pengertian konsep yang diberikan oleh United Nations Committee on World Food Security, sekuriti makanan ini adalah bertunjangkan kepada tiga tonggak utama iaitu ketersediaan, kestabilan dan akses. Keseluruhannya, jaminan makanan atau food security ini boleh ditafsirkan sebagai satu situasi apabila setiap individu, pada sepanjang masa, memiliki akses ekonomi dan fizikal ke atas makanan yang cukup, selamat dan berkhasiat bagi memenuhi keperluan dan cita rasa pemakanan untuk hidup yang aktif dan sihat sepanjang masa.

Apa pentingnya untuk kita tahu berkaitan jaminan makanan ini? Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Makanan dan
Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), jumlah individu di seluruh dunia yang mengalami masalah kebuluran dan kekurangan zat pada tahun 2020 adalah sebanyak 811 juta, dan ia adalah jauh lebih tinggi berbanding 2019, iaitu sebanyak 768 juta orang.

FAO sendiri telah menyediakan empat indikator atau petunjuk yang boleh digunakan dalam mengenal pasti jaminan makanan bagi sesebuah negara iaitu kesediaan bekalan makanan, kemampuan harga membeli, kemudahan akses pasaran dan bekalan makanan yang berkhasiat.

Menurut pertubuhan antarabangsa, Oxfam, tepung gandum simpanan sama ada di Gaza atau Tebing Barat mungkin akan habis dalam masa tiga minggu dan kosnya akan naik kepada 25 peratus disebabkan oleh permintaan yang tinggi di seluruh dunia.

Jaminan makanan atau food security adalah satu langkah yang giat dilakukan oleh rakyat Palestin untuk kemandirian hidup mereka.
Rejim penjajah pula ketika ini semakin giat melebarkan jajahan mereka dengan merampas ladang tanaman dan rumah-rumah milik rakyat
Palestin dengan menjadikannya kediaman imigran Yahudi yang datang dari Eropah. Pada tahun 1967, Tebing Barat telah mengeksport hasil tanaman mereka sebanyak 80 peratus, termasuk 45 peratus daripada hasil buah-buahan.

Ketika ini, pertanian hanya menyumbang sebanyak 4.8 peratus daripada Gross Domestic Product (GDP) Gaza dan 2.6 peratus daripada Tebing Barat menurut International Labour Organization (ILO).


PEPERANGAN Rusia-Ukraine telah mencetuskan pelbagai impak kepada dunia.

Selain itu, kekurangan akses kepada sumber air juga menjadi punca kepada masalah jaminan makanan di Palestin apabila Israel meletakkan tembok di Tebing Barat yang telah mengasingkan seramai 95 peratus rakyat Palestin dari sumber air yang telah mereka gunakan sejak dahulu lagi.

Makanan adalah salah satu hak asasi manusia yang perlu dipenuhi. Krisis makanan di Palestin bukanlah terjadi selepas krisis yang melibatkan Ukraine dan Rusia ini, tetapi mereka telah berhadapan dengan isu ini sejak 74 tahun yang lalu tanpa dipandang oleh kuasa-kuasa besar dunia serta gerakan hak asasi manusia.

Dengan bermacam-macam krisis yang berlaku pada tahun ini, ia menambahkan lagi tekanan kepada penduduk Palestin terutama di Gaza.
———————————————————————————————————————————————————————————————
Muhd. Haikal Luqman Zulkefli
ialah Eksekutif Penyelidikan dan Advokasi,
Persatuan Cinta Gaza Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN