PETALING JAYA – Sifat tamak haloba dan perasaan geram apabila modal yang dikeluarkan gagal diperoleh semula, menyebabkan kaki judi online menerusi telefon bimbit tidak mudah mengalah untuk terus bermain judi dan mempertaruhkan lagi duit.
Mereka sanggup menghabiskan gaji sebulan, korek duit simpanan dan berlapar sepanjang hari, malah berhutang dengan kawan-kawan, asalkan dapat memuaskan nafsu bermain judi.
Seorang kaki judi yang ingin dikenali sebagai Hisham, 35, berkata, dengan modal pertaruhan serendah RM10 sahaja, lebih 100 permainan boleh dimainkan dalam aplikasi judi yang boleh dimuat naik melalui telefon bimbit masing-masing.
“Cukup mudah, banyak permainan berunsur judi ditawarkan melalui telefon. Kita hanya perlu mempunyai rangkaian internet yang baik dan boleh dimainkan di mana sahaja.
“Dengan modal serendah RM10 yang dimasukkan kepada ‘tauke’ judi yang digelar ‘amoi’ menerusi sistem aplikasi itu, maka kita sudah boleh mula berjudi.
“Sekarang cukup senang melalui telefon sahaja, lagipun untuk modal pertaruhan, kita hanya pindahkan wang melalui aplikasi bank kita,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Hisham yang juga penjawat awam memberitahu, bagaimanapun, pihak yang menyediakan aplikasi itu bijak kerana mereka akan memberi kemenangan kepada individu yang baru pertama kali mencuba.
“Sekali menang, kita pastinya sangat seronok dan akan rasa nak lagi dan lagi. Itu sebenarnya taktik mereka untuk pancing kita supaya terus berjudi dan mempertaruhkan lebih banyak duit.
“Selepas itu, kita akan jadi geram untuk dapatkan kemenangan lebih besar. Kita akan gunakan duit kemenangan pertama dan seterusnya untuk dibuat modal, kemudiannya semua duit kemenangan itu tadi akan ditelan’ balik apabila kita kalah dan terus kalah.
“Kalau dikira balik wang pertaruhan yang dilaburkan, tiada pun keuntungan, tetapi sebab perasaan geram itulah menyebabkan kita lalai dan tidak serik untuk berjudi lagi,” ujarnya.

Hisham berkata, sebelum ini dia pernah menang besar dengan memenangi wang sebanyak RM14,000, namun pihak terbabit tidak membayar duit itu.
Dia juga mengaku pernah menghabiskan duit sebulan gaji iaitu kira-kira RM4,000 dalam masa satu hari sahaja dengan bermain judi online.
Malah katanya, ketika itu dia pernah berhutang dengan kawan-kawan untuk membayar komitmen bulanannya seperti kereta dan rumah selepas duit gaji habis digunakan untuk berjudi.
Bagi seorang lagi kaki judi yang dikenali sebagai Hafizul, 38, dia pernah ditipu oleh syarikat judi online selepas mendapat kemenangan RM7,500.
Ejen insurans itu memberitahu, syarikat terbabit tidak membayar duit kemenangannya itu dan terus menyekat nombor telefonnya.
“Sudah banyak saya dengar kes-kes macam ini, ada syarikat judi yang bayar dan ada yang tidak bayar.
“Syarikat ini akan memberi pelbagai alasan antaranya sistem bank bermasalah dan ada juga bagi alasan duit akan dibayar keesokan hari.
“Kalau ada yang banyak alasan itu memang sebenarnya mereka tidak mahu bayar. Sebenarnya syarikat judi ini banyak yang tipu. Ramai yang mudah terpedaya,” ujarnya.
Hafizul berkata, kegilaan judi online menerusi telefon bimbit telah membuatkan dirinya tidak memikirkan tentang keperluan lain yang lebih utama seperti makan minum dan perbelanjaan keluarga serta anak-anak.
“Saya sanggup tidak makan seharian dan pernah langsung tiada duit di dalam poket untuk pergi kerja. Di tempat kerja kalau ada masa terluang, saya akan berjudi.
“Tidak tahu bila saya akan berhenti berjudi walaupun pernah ditipu. Tabiat ini seakan-akan sukar untuk ditinggalkan sebab ada keseronokan tersendiri yang tidak mampu saya jelaskan.
“Selepas kita menang, kita akan rasa mahu berjudi lagi. Syarikat judi memang pandai buat tarikan, kadangkala mereka akan bagi bonus jika kita selalu main,” katanya. -KOSMO! ONLINE














