fbpx
Norsaliza dan dua anaknya yang mengalami masalah kesihatan.

‘Kami diuji, satu keluarga derita sakit’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Di sebalik wajah ceria dan sikap ramah yang dipamerkan, tiada siapa me­nyangka terselit seribu satu kisah sedih mengenai kehidupan Norsaliza Mohd. Harichid sebagai seorang ibu kepada tiga orang cahaya mata.

Tidak hanya diuji dengan sumber rezeki yang terhad, wanita berusia 40 tahun dari Bandar Kinrara, Puchong itu turut berdepan dugaan kesihatan apabila disahkan mengalami penyakit kencing manis tahap bahaya.

Kesannya, Norsaliza terpaksa mengambil insulin sebanyak empat kali setiap hari.

“Bukan saya seorang yang mengalami masalah kesihatan, bahkan suami yang berusia 52 tahun turut terkesan sehingga tidak mampu bekerja susulan cepat penat selain mengalami risiko kekejangan otot.

“Kami mempunyai tiga orang anak termasuk seorang cahaya mata istimewa yang dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU) kerana menghidap lebihan cecair dalam otak sejak dilahirkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Menurut Norsaliza, anak istimewanya itu, Fatimah Musa yang kini berusia dua tahun memerlukan penjagaan rapi bagi memastikan keadaannya sentiasa terkawal sementara menunggu pembedahan dilaksanakan.

Dugaan keluarga itu berterusan apabila anak perempuan keduanya yang berusia lapan tahun turut mengalami asma sejak setahun lalu.

Susulan itu, keluarga terbabit dibebani dengan kos rawatan tinggi setiap bulan, selain tiada pendapatan bulanan yang tetap bagi membiayai perjalanan mereka ke hospital.

“Kehidupan kami sekeluarga ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Kami sekeluarga hanya bergantung kepada wang hasil perniagaan sarapan kecil-kecilan yang dijalankan dari rumah untuk dijual di kawasan perumahan,” ujarnya.

Bagi Norsaliza, dia reda de­ngan ujian berterusan yang me­nimpa keluarganya selain mengharapkan ada sinar cahaya untuk keluar daripada situasi tersebut pada masa hadapan.

“Saya teringin untuk mempunyai kehidupan yang lebih stabil tanpa perlu memikirkan bebanan wang yang perlu ditanggung.

“Namun, apabila saya lihat wajah anak-anak, kekuatan untuk meneruskan kehidupan itu datang dengan sendiri,” ujarnya sambil menitiskan air mata.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan ban­tuan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank miliknya bernombor 164838113838.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN