fbpx
SEJAK bujang lagi, Aris gemar menikmati nuget dan air berkarbonat sehingga menjadi punca utama dia menghidap kencing manis pada usia muda. – Gambar hiasan

K2

Rumah tangga runtuh angkara nuget, air gas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERCERAIAN suami isteri dalam rumah tangga boleh berlaku melalui apa sahaja cara.

Kebiasaannya, punca pasangan berpisah disebabkan curang dan adakalanya disebabkan beberapa alasan tidak masuk akal.

Berkongsi kepada K2, Nurin (bukan nama sebenar) berkata, dia telah melalui perceraian sekitar tujuh tahun lalu.

Jelas anak jati Temerloh, Pahang itu, dia mengenali suaminya melalui satu aplikasi cari jodoh, sebelum bertemu dan menyulam kasih.

“Dua tahun bercinta dan kenal hati budi, saya dan Aris (bukan nama sebenar) mengambil keputusan untuk menghalalkan hubungan dengan bernikah.

“Alhamdulillah, segala urusan pernikahan dipermudahkan dan kami masing-masing berpindah ke kediaman baharu bagi memulakan hidup bersama,” katanya.

Meneruskan kisah, Nurin yang bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital perasan suaminya gemar minum air gas atau berkarbonat, selain makan makanan diproses seperti nuget.

Akuinya, sewaktu berkenalan dan ‘lepak’ makan bersama di luar, dua hidangan tersebut pasti dipesan oleh suami.

Cerita Nurin, dia juga ada menegur dan meminta Aris supaya mengurangkan pengambilan makanan dan minuman berkenaan.

Ujarnya, kedua-dua menu itu memiliki kandungan dan bahan yang tidak sihat, selain boleh mengancam kesihatan.

“Puas saya ‘bebel’ dan tegur dia supaya jangan selalu ambil makanan diproses dan minuman bergas. Dia bersetuju untuk kurangkan pengambilan makanan dan minuman berkenaan.

“Namun, saya lihat semakin lama tabiat dia minum air gas dan makan makanan diproses semakin menjadi-jadi.

“Saya bukan larang supaya tidak makan terus.

“Sebagai manusia biasa dan ada nafsu, saya pun makan serta minum juga tapi bukan menjadikannya sebagai satu kebiasaan,” katanya.

Jelas Nurin, dia bersyukur kerana sebelum bernikah, pemeriksaan kesihatan dirinya serta suami baik dan tiada apa-apa penyakit yang dikesan.

Hampir tiga tahun selepas bernikah, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki hasil perkongsian hidup bersama.

Beritahu Nurin, disebabkan dia bekerja syif, Aris banyak membantu menguruskan anak kerana waktu kerja suaminya itu lebih fleksibel dan boleh bekerja dari rumah.

“Jadi, urusan makan minum anak biasanya saya akan siapkan dahulu sebelum ke tempat kerja. Suami hanya tolong beri makan kepada anak apabila sudah tiba waktunya.

“Cuma setiap kali saya balik, saya perasan dalam mulut anak pasti ada cebisan nuget.

“Tidak syak lagi itu memang kerja suami. Sebab saya tahu dia memang akan beli stok nuget sejuk beku dan menggorengnya jika berada di rumah.

“Bila saya tanya, dia mengaku ada beri anak yang baru berusia dua tahun makan nuget.

“Sebagai jururawat, saya memang marah apa yang suami buat. Saya takut anak ketagih sebab dari kecil sudah diajar makan benda-benda tidak sihat,” katanya.

Beberapa tahun berlalu, anaknya semakin membesar dan sudah mula dihantar ke taska.

Seperti biasa, suami akan ada lebih masa bersama anak dan membantu dalam urusan penjagaan.

“Kali ini memang buat saya baran dan marah. Balik dari kerja, saya lihat anak yang berusia lima tahun sudah pandai minum air gas.

“Bila ditanya siapa beri minum, anak cakap Aris yang beri. Adakalanya, apabila kami keluar makan bersama, anak pun sudah pandai minta belikan nuget dan air gas.

“Memburukkan keadaan, suami ketika itu sudah didiagnos penyakit kencing manis pada usia tidak sampai 40 tahun. Namun, dia masih dengan gaya hidup tidak sihat melalui pemakanannya,” luahnya.

Puas menasihati dan memujuk suami supaya meninggalkan makanan dan minuman kegemarannya, namun dia tetap tidak mahu berubah dan tetap ‘sayangkan’ air gas dan nugetnya itu.

Jelas Nurin, suaminya juga didiagnos tinggi kolesterol, selain mempunyai masalah gout pada usia muda akibat gaya hidup sejak zaman bujang.

Disebabkan sering berbeza pendapat, Nurin nekad meminta untuk dilepaskan kerana sudah tidak tahan dengan perangai Aris.

Malah, dia tidak nampak hala tuju hubungan mereka untuk menjadi sebuah keluarga yang harmoni.

Berbulan turun naik mahkamah, perceraian akhirnya berlaku dengan hak penjagaan anak diberikan kepada Nurin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN