KEHADIRAN Andi Bernadee dalam industri hiburan tanah air tiga tahun lalu pernah menyimpang jauh daripada stereotaip muzik di Malaysia yang sinonim dengan lagu-lagu balada dan pop tipikal.
Penyanyi berusia 29 tahun itu menerjah jiwa peminat muzik tanah air dengan lagu-lagu bergenre reggaeton menerusi Satu Peluang, Donde dan Shimmy, sekali gus meledakkan portfolionya.
Menjadi lagu wajib yang berputar di segenap stesen radio, muzik Andi juga mesra telinga dan mudah bermain di bibir peminat.
Situasi tersebut sekali gus membuktikan penyanyi kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini berjaya mencipta fenomena tersendiri dan meletakkan Andi jauh berbeza dengan kebanyakan bintang Baru Nak Up (BBNU) lain.
Selepas enam bulan menggoda hati ramai dengan Shimmy, bekas peserta Big Stage 2018 itu kembali mempertaruhkan karya bergenre balada berjudul Penat.
Menerbalikkan waktu, sejarah merekodkan bahawa genre balada menerusi single pertamanya, Tiada Lagi Maaf kurang menyerlahkan nama Andi Bernadee.

Penat
Menurut pemilik nama Andi Azrul Andi Mapangil itu, Penat berbeza dengan lagu-lagu terdahulu. Malah, Penat bukan genre balada tipikal seperti yang ada dalam pasaran muzik hari ini.
“Penat ialah ciptaan saya sendiri bersama komposer, Nur Iman dan Efry Arwis.
“Lagu yang diberi susunan muzik melankolid ini mampu menjerat rasa sesiapa yang mendengarnya.
“Susunan muzik lagu berdurasi tiga minit 38 saat ini sangat minimalis dengan hanya diiringi bunyi piano dan gitar yang berjaya mewujudkan muzik minimalis.
“Penat sangat berbeza dengan lagu saya terdahulu yang lebih catchy muziknya,” kongsinya kepada HibGlam baru-baru ini.
Tidak dinafikan saat mendengar Penat, terasa seperti ada satu perasaan hiba yang tercetus dalam jiwa.
Bahkan, Andi berjaya membuktikan dia mampu mendendangkan sebuah karya balada dengan baik.
“Ya lagu ini sarat dengan emosi. Saya meletakkan 100 peratus jiwa, diri dan emosi dalam menyampaikan karya ini. Bukan mudah untuk menyanyikan lagu, namun syukur alhamdulillah saya berjaya lakukannya.
“Biarpun saya pernah berjaya mencipta nama melalui muzik reggaeton, namun kali ini saya nekad untuk mempertaruhkan lagu balada pula. Saya mahu keluar daripada zon selesa dan ingin mempelbagaikan lagi jenis muzik yang dipersembahkan.
“Memang ini bukan kali pertama saya membawakan lagu berentak balada, namun karya kali ini mempamerkan jenis balada yang berbeza dan lebih sesuai dengan cita rasa muzik dan jiwa saya,” ulasnya.

Kehidupan lalu
Berbicara lanjut mengenai mesej tersirat di sebalik lagu tersebut, Andi tidak menafikan liriknya seperti menceritakan perjalanan hidupnya sebagai seorang penyanyi sejak awal kemunculan sekitar tahun 2017.
“Jika diamati bait-bait lirik lagu ini, Penat mengisahkan perjuangan seseorang dalam mengharungi pahit manis kehidupan. Tidak ubah seperti cerita hidup saya.
“Saya pernah merasai zaman kejatuhan sebelum berada di posisi saya ketika ini. Rasa terduduk, menangis dan merenung masa depan, itu semua pernah saya rasai,” tuturnya.
Menurut anak kedua daripada empat adik-beradik itu, dia mengutip semula semua emosi daripada rentetan masa lalu dan diluahkan menerusi Penat.
“Kalau dikenang kembali, memori itu memang membangkitkan rasa sayu dan sebak namun saya berjaya terjemahkan semuanya dalam lagu ini.
“Bagaimanapun, walau tajuknya Penat, tidak bermakna saya letih dan putus asa dalam hidup. Tajuk sahaja yang Penat tetapi saya masih terus mengejar misi dalam hidup saya,” katanya.
Bercerita tentang pengalaman lalu, Andi mengakui perjalanan awal seninya pernah beberapa kali terkandas terutama ketika ditolak selepas menghadiri beberapa sesi uji bakat rancangan program realiti televisyen.
Rasa pedih apabila bakat ditolak memang tidak boleh dinafikan. Andi juga pernah berasa penat untuk mencuba menjadi seorang artis tetapi atas sokongan orang sekeliling dia bangkit dan berjaya membanggakan diri serta keluarga.
“Saya berharap lagu ini mendapat sambutan positif pendengar walaupun genrenya berbeza daripada lagu hits sebelum ini. Bahkan, Penat ditujukan khas buat peminat yang setia menyokong saya selama ini.
“Ingin saya tekankan sekali lagi, saya tidak akan pernah penat menghasilkan karya terbaik untuk mereka. Selain itu, harap lagu ini berjaya memberi semangat kepada mana-mana pendengar yang ketika ini penat dengan kehidupan mereka,” katanya.

Relevan
Bergelar penyanyi BBNU, Andi mengakui cabarannya sangat besar bagi memastikan nama terus diingati oleh peminat muzik tanah air.
“Persaingan dalam kalangan penyanyi baharu sangat mencabar ketika ini. Mereka muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan.
“Malah, saya akui populariti saya sendiri tidak konsisten, bila sudah ada lagu baharu nama kembali naik. Jadi cabaran itu saya ambil dan lakukan pelbagai eksperimen bagi menghasilkan karya yang lebih bagus,” tuturnya lagi.
Tambahnya, dia turut mengambil pendekatan untuk berfikir jauh, dua atau tiga tahun ke depan bagi menghasilkan sesebuah karya.
Ujarnya, setiap penyanyi perlu mempraktikkan cara tersebut bagi memastikan lagu-lagu mereka tidak berada di takuk lama untuk mengekalkan relevansi dalam industri hiburan tanah air.
“Saya perlu berfikir jauh ke depan. Tak boleh tersekat dalam trend muzik semasa.
“Ini yang saya praktikkan sejak menghasilkan Donde yang mengambil inspirasi daripada muzik luar dan lebih segar serta membawa genre berbeza berbanding artis BBNU yang lain,” katanya menutup perbualan.














