fbpx
GAMBAR HIASAN

Perlu bayar RM400 untuk 2 dos vaksin?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Harga yang mungkin dikenakan bagi pengambilan vaksin untuk golongan kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun boleh mencecah antara RM300 hingga RM400 untuk dua dos suntikan selepas Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) berakhir semalam.

Menurut satu sumber, harga yang dikenakan bagi pengambilan vaksin tersebut adalah meliputi kos suntikan, konsultansi dan juga kos perkhidmatan.

“Walaupun harga bagi suntikan vaksin itu sudah ditetapkan mengikut kadar siling sebelum ini (ketetapan dibuat kerajaan), namun ia meliputi kos keseluruhan yang disediakan.

“Ini termasuk kos suntikan vaksin, konsultasi dan juga kos perkhidmatan bergantung kepada fasiliti berkenaan,” ujarnya.

Pada Januari lalu, dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, kerajaan mene­tapkan harga borong dan runcit maksimum bagi dua produk vaksin Covid-19 iaitu jenama CoronaVac keluaran Sinovac dan Covilo keluaran Sinopharm.

Namun, harga runcit maksimum yang ditetapkan tidak termasuk caj perkhidmatan dan caj barangan pakai buang yang digunakan ketika suntikan vaksin.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr. Malina Osman berkata, meskipun trend jangkitan semakin rendah, namun kanak-kanak yang belum divaksin masih berisiko.

“Apa yang kita risaukan kanak-kanak yang belum divaksin, berpotensi mendapat jangkitan. Sikap ibu bapa sesuatu yang kita tak boleh kawal, namun kita berharap mereka juga mempunyai tanggungjawab terhadap anak-anak yang belum divaksin.

“Meskipun sangat rendah untuk berlaku gelombang baharu, namun yang dijangkiti pasti terdedah kepada komplikasi serius,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Mengulas mengenai imuniti kelompok dalam kalangan kanak-kanak, beliau berkata, perkara itu tidak memberikan kesan yang besar.

“Kita berharap mereka turut terlindung dengan liputan vaksin yang tinggi dalam kalangan dewasa,” ujarnya.

Setakat 10 Mei lalu, seramai 961,597 atau 27.1 peratus kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun di negara ini telah lengkap ­menerima vaksin di bawah PICKids.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN