fbpx
SENI bina Musalla Al-Abrar di Segambut, Kuala Lumpur ini turut diinspirasikan daripada Kaabah.

Elemen tropical brutalism tarik golongan muda ke surau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAGUM rasanya tatkala kenderaan dipandu berhenti di hadapan Musalla Al-Abrar. Bangunan berbentuk kiub diperbuat sepenuhnya menggunakan batu blok angin dan tidak dilepa itu ternyata mempunyai tarikan tersendiri.

Tidak dinafikan, bangunan konkrit berwarna putih kelabu di celah-celah kawasan perumahan itu biasanya dapat dilihat dengan jelas bagi setiap individu yang melalui sekitar Jalan Sungai Penchala, Segambut, Kuala Lumpur.

Bagi individu yang tidak berapa tahu kawasan tersebut, mereka mungkin menyangka bangunan berbentuk kiub itu ruang pejabat atau hotel butik berkonsepkan seni bina industrial.

Bagaimanapun, mereka hanya menyedari ia sebenarnya sebuah surau apabila terpandangkan perkataan Musalla Al-Abrar pada papan tanda biru yang tergantung kemas di bahagian kiri pintu pagar utamanya.

“Pertama kali ke sini setelah ia tular, saya tidak menyangka surau dengan seni bina luar biasa ini ada di negara kita. Ia tidak berkubah dan menerapkan seni bina moden.

“Bagaimanapun, saya berasa tenang sepanjang solat di sini. Pengudaraan dan pencahayaan terus dari luar membuatkan saya rasa segar dan lebih dekat kepada Pencipta.

“Ini merupakan kali ketiga saya di sini memandangkan menetap di Klang, Selangor. Mungkin surau mahupun masjid lain boleh mengambil pendekatan sama selepas ini,” kongsi seorang jemaah, Abdul Muhaimin Ahmad, 30.

MUSALLA yang berkonsepkan seni bina moden ini mampu memuatkan lebih 1,500 orang jemaah dalam satu-satu masa. – Foto MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

Merupakan sebuah surau, namun binaan itu sebenarnya menyamai sebuah masjid memandangkan ia boleh memuatkan hingga 1,500 orang jemaah dalam satu-satu masa.

Mengetengahkan seni bina estetik, ia antara surau tercantik di negara ini dan menjadi tumpuan masyarakat sekitar Lembah Klang.

Mana tidaknya, dibina menggunakan batu blok angin semata-mata dan terhias indah pula dengan tumbuhan yang subur menghijau yang ditanam di kawasan sekeliling, pastinya bukan sahaja memberikan pengudaraan selesa, malahan mampu membuatkan jemaah menunaikan ibadah dengan tenang.

Biarpun baru tular pada Ramadan lalu, mungkin ramai tidak tahu surau ini sebenarnya didirikan sejak 2016 lagi di bawah pentadbiran Yayasan Tawfiq.

Menelan kos RM3 juta, surau tersebut mempunyai dua aras ruang solat dan turut dilengkapi dengan ruang dapur, pejabat, tempat mengambil wuduk dan tandas di bahagian bawah.

Diilhamkan oleh seorang arkitek muda daripada GDP Architecs Sdn. Bhd., Hafiz Ismail, 48.

SYED HUSSIN menunjukkan ruang mengambil wuduknya yang juga lain daripada yang lain.

Menurut Hafiz, idea bangunan surau itu diinspirasi daripada struktur Kaabah di Masjidil Haram, Mekah.

“Ilham ini datang daripada struktur Kaabah yang berbentuk kiub dan menjadi lokasi tumpuan jutaan umat Islam di seluruh dunia.

“Dari situ, saya terfikir mengapa tidak jika kita adaptasikan bentuk kiub Kaabah untuk menarik jemaah,” ujarnya.

Terangnya, dari segi disiplin seni bina, binaan surau tersebut menerapkan elemen tropical brutalism.

“Perkataan brutalism merujuk kepada penggunaan material dinding dan tiang surau yang 100 peratus berasaskan binaan konkrit yang dilepa simen tanpa semburan cat.

“Sementara itu, perkataan tropical pula diterapkan melalui aspek landskap tumbuhan yang banyak meliputi sebahagian surau. Ini bagi mewujudkan persekitaran hijau mendamaikan,” katanya.

Jelas Hafiz, dia sengaja menggunakan batu blok angin pada keseluruhan dinding surau bagi mewujudkan ruang pengudaraan semula jadi, sekali gus membolehkan jemaah berasa selesa.

Perkakasan digunakan pada ruang tandas dan wuduk menggunakan barang mudah didapati, tetapi didekorasi sebaiknya supaya ia membentuk nilai estetika dan tampak menarik.

MENGGUNAKAN batu angin pada keseluruhan ruang, surau ini mempunyai sistem pengudaraan semula jadi.

Dalam pada itu, Pemegang Amanah Yayasan Tawfiq, Syed Hussin Syed Shaikh Al Junid berkata, selain memastikan keselesaan jemaah, binaan surau dengan berkonsepkan tropical brutalism itu bertujuan menarik lebih ramai generasi muda hari ini untuk mengunjungi institusi keagamaan dan mengimarahkan surau serta masjid.

“Kita mahu mereka lebih dekat dengan rumah Allah. Kita mahu tarik generasi muda pergi ke masjid dan solat secara berjemaah.

“Biarpun binaan surau ini berbeza dengan surau atau masjid lain dan mungkin sukar diterima segelintir pihak, memandangkan ruangnya yang agak kecil, kelihatan ekstrem dan kolot dengan binaan batu angin.

“Mungkin ada yang bimbang sekiranya ruang tersebut dimasuki burung. Belum lagi mereka yang memikirkan bagaimana pula dari segi penyelenggaraan.

“Tetapi apabila kita berada di dalamnya, ia ternyata jauh selesa dan hati akan lebih lapang dengan pemandangan landskap menghijau di sekeliling,” tambahnya.

Katanya, selepas surau ini tular pada Ramadan lalu, ia mula dikunjungi ramai golongan muda.

Mempunyai tiga imam tetap, surau yang dibuka setiap hari ini bukan sahaja tempat menunaikan solat, tetapi juga gedung ilmu agama yang mana untuk hari-hari tertentu, mereka menjalankan aktiviti kerohanian seperti ceramah, zikir mingguan dan sebagainya.

“Pada hari Isnin, kami menganjurkan Majlis Asmaulhusna, sementara bacaan surah al-Kahfi, Yassin dan maulid pula dianjurkan setiap malam Jumaat. Bukan itu sahaja, kami turut menganjurkan ceramah untuk orang ramai.

“Selain program tersebut, makanan turut menjadi salah satu tarikan dakwah di sini, yang mana kami menyajikan hidangan kepada jemaah untuk majlis-majlis tertentu, selain setiap malam Jumaat.

“Kami mahu mereka rasa seperti berada di rumah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN