fbpx
REKA bentuknya yang begitu unik mampu mencuri perhatian ramai selain lampu hadapan dan belakang yang besar mudah dilihat pengguna jalan raya yang lain. – FAISOL MUSTAFA

Teknologi hijau kekuatan van elektrik EC35

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pengguna terutamanya golongan peniaga kini mempunyai lebih pilihan dalam mendapatkan jentera yang menawarkan penjimatan kos operasi.

Ia merupakan satu daripada kekuatan yang terdapat pada van elektrik keluaran syarikat berpangkalan di China, Dongfeng Sokon (DFSK) EC35.

Van tersebut dilancarkan secara rasmi di negara ini oleh pengimportnya, QC Fleet Management Sdn. Bhd. di Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Cyberjaya pada Selasa lalu.

Menurut Pengurus Besar DFSK, Zhang Xingyan, van elektrik EC35 merupakan van elektrik yang paling laris di China pada tahun lalu ekoran ciri-ciri yang dimilikinya.

Ciri-ciri tersebut, ujarnya, membuatkan jentera itu popular dalam kalangan pengusaha perniagaan online, pos dan kurier.

“Hari ini, EC35 dilancarkan secara rasminya di pasaran Malaysia, sekali gus menyumbang kepada promosi penggunaan jentera elektrik dan teknologi hijau di negara ini,” katanya.

Van tersebut dikuasakan oleh bateri litium-ion 38.7kWh yang mampu menjana kuasa maksium sebanyak 60kW dan tork puncak 200Nm.

Kuasa dihasilkan itu membolehkan van berkenaan mencapai kelajuan maksimum 100 kilometer sejam (km/j).

REKA bentuknya yang begitu unik mampu mencuri perhatian ramai selain lampu hadapan dan belakang yang besar mudah dilihat pengguna jalan raya yang lain.
– FAISOL MUSTAFA

EC35 juga dilengkapi dengan sambungan pengecas CCS sebagai ciri standard, malah jentera itu juga boleh dicas dari 20 ke 80 peratus dalam tempoh 35 minit menggunakan pengecas pantas arus terus (DC).

Tempoh pengecasan yang singkat sekali gus membolehkan waktu operasi jentera itu dan produktiviti pengguna atau syarikat yang menggunakannya dipertingkat.

Van elektrik EC35 ditawarkan dalam konfigurasi dua atau lima tempat duduk kepada pengguna di negara ini.

RUANGAN dalamannya berwarna putih dan kelabu tampak moden dan selesa.

Jentera itu boleh membawa muatan sehingga 1,090 kilogram (kg), setanding dengan van yang dikuasakan bahan api petrol atau diesel.

Bagi golongan peniaga, terdapat beberapa kelebihan yang van EC35 boleh dimanfaatkan mereka. Antaranya adalah penjimatan tahunan sebanyak 33 peratus bagi penyelenggaraan jentera itu.

Selain itu, EC35 juga menawarkan penjimatan sehingga 78 peratus kos operasi harian berbanding penggunaan van dengan enjin dikuasakan bahan api seperti petrol.

Van itu boleh dipandu sehingga 268 kilometer (km) berdasarkan rating Prosedur Ujian Kenderaan Ringan Seluruh Dunia (WLTP) atau 200km di dalam bandar dengan pengecasan bateri penuh.

Jarak kelegaan bumi sebanyak 190 milimeter (mm) juga merupakan antara kelebihan dimiliki jentera tersebut, memandangkan hal itu dapat mengelak van itu daripada rosak di bahagian bawahnya akibat pergeseran apabila berlanggar dengan bonggol di jalan raya.

Rekaan lampu hadapan dan belakangnya juga membolehkan EC35 dapat dilihat dengan jelas oleh pengguna jalan raya yang lain. Saiz cermin hadapan yang besar juga direka bagi memastikan penglihatan pemandu tidak terganggu.

PELANCARAN van elektrik ini dihoskan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada Selasa lalu.

Di bahagian dalamnya pula, ia dilengkapi dengan panel instrumen pintar, pemilihan shift gear satu sentuhan, selain power window dan central locking.

Antara lain-lain ciri keselamatan didatangkan pada EC35 ialah sistem pemantauan tekanan angin tayar (TPMS), amaran pejalan kaki serta tiga sensor mengundur dan kamera mengundur.

Menerusi pengenalan polisi kerajaan bagi 2022 hingga 2023 iaitu pengecualian duti import bagi semua kenderaan elektrik yang diimport sepenuhnya (CBU), EC35 juga tidak terkecuali.

Bahkan, EC35 juga dikecualikan daripada cukai jalan menerusi pengumuman kerajaan berkaitan perkara tersebut melibatkan kenderaan elektrik sehingga tahun 2025.

Van elektrik berkenaan turut didatangkan dengan waranti lima tahun atau perbatuan 120,000km bagi tren kuasanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan QC Fleet Management Sdn. Bhd., Lim Khoon Yee berkata, jentera elektrik ditawarkan pihaknya itu sesuai digunakan oleh syarikat yang mahu menggunakan kenderaan berteknologi hijau.

“Berbanding dengan pendapat umum, menggunakan teknologi hijau tidak semestinya memakan kos tinggi. EC35 menawarkan peluang kepada pengguna untuk mengurangkan jejak karbon, malah melakukan penjimatan pada masa sama,” katanya.

Jentera elektrik berkenaan boleh dimiliki pengguna pada harga RM130,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN