SEWAKTU menyertai pertandingan realiti Big Stage musim pertama, nama Sissy Imann Mohamad Kamil pernah dikatakan antara peserta kegemaran yang mempunyai pesona bintang bahkan layak bergelar juara.
Bertanding dengan latar belakang sebagai seorang guru vokal dan mahir bermain piano, Sissy hanya mampu bertahan sehingga minggu kelima dalam program berkenaan.
Biarpun penyingkiran tersebut dianggap sedikit mengejutkan, anak jati Kuala Lumpur itu tidak mudah menyerah kalah.
Dia bangkit dan meneruskan perjalanan dalam kerjayanya tanpa menggalas apa-apa rasa kekesalan.
“Benar, saya tidak lama berada dalam Big Stage tetapi saya gembira kerana telah melakukan yang terbaik.
“Saya tahu sejak penyingkiran dua tahun lepas hingga ke hari ini, nama saya masih lagi suam-suam kuku tetapi saya tidak berasa ralat,” jelasnya memulakan bicara dalam satu temu bual bersama HibGlam baru-baru ini.

Bukan satu tanda aras, namun melihat pada aspek pengarub atau pengikut laman sosial, wanita berusia 24 tahun itu memang jauh ketinggalan berbanding rakan seangkatan lain yang sering dibahasakan Budak Baru Nak Up (BBNU).
Bahkan dalam satu insiden tahun lepas, Sissy pernah dicop oleh peminat sebagai artis sendu yang terlalu mencuba menerusi sebuah video tarian parodi menerusi Instagramnya.
“Mestilah saya berasa sedih kerana orang di luar tidak tahu berapa banyak usaha yang saya lakukan untuk berada pada tahap sekarang.
“Namun, setiap kali saya berasa ingin berputus asa, saya akan ingat kembali tujuan utama saya memasuki industri tujuh tahun lalu iaitu untuk berkongsi minat dan bakat seni saya kepada orang ramai,” luahnya panjang lebar.
Tidak berasa ketinggalan walaupun skala popularitinya masih di tahap rendah, pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Muzik itu mengakui, situasi emosi dan mental masih stabil tanpa banyak gangguan.

– IHSAN SISSY IMANN
Populariti satu bonus
Sepanjang bergelar anak seni, secara peribadinya Sissy berpendapat dirinya sudah mencapai banyak hal memuaskan hati. Tinggal lagi, nasib belum memihak kepadanya untuk mengalir laju dalam arus komersial.
“Popular itu satu bonus. Saya masuk industri untuk belajar dan mengajar tentang seni. Setakat ini, saya berpuas hati dengan graf karier seni yang difikirkan berada di landasan betul,” jelasnya.
Beralih tentang perkembangan terkini kerjayanya, Sissy baru-baru ini telah melancarkan single balada pertamanya yang bertajuk Bisa Mencinta ciptaan Mike Chan dan Amir Hariz.
Sebagai seorang yang sudah selesa membawakan lagu berentak jazz, balada ternyata bukan sebuah forte mudah untuk dikuasai.
Pengalaman terpaksa berulang alik tiga kali ke studio rakaman sebelum menyempurnakan lagu tersebut ternyata membuka perspektif baharu buat si tinggi lampai itu.

“Kali ketiga saya hadir untuk membuat rakaman, saya menangis teresak-esak kerana berasa sedikit kecewa kerana tidak menemui penghayatan yang diperlukan untuk Bisa Mencinta.
“Lucunya, hasil rakaman selepas menangis itu baru membuatkan Faizal Tahir selaku penerbit berpuas hati dengan nyanyian saya,” ujarnya.
Selain mencabar diri keluar daripada zon selesa, Bisa Mencinta juga satu percubaan menyerlahkan sisi matangnya.
Seiring dengan usia, Sissy mahu peminat turut melihat jalur perubahan lagu-lagu nyanyiannya sejak remaja sehingga sekarang.
“Peminat selalu membuat permintaan supaya menyanyikan lagu balada dan karya bukan ciptaan sendiri. Jadi inilah masanya.
“Alhamdulillah, setakat ini Bisa Mencinta menerima respons positif daripada pendengar,” ujarnya menyimpul perbualan.

















