PETALING JAYA – Pengurusan rumah anak yatim mengakui sumbangan dalam bentuk wang tunai dilihat lebih sesuai berbanding sumbangan makanan bagi meneruskan kelangsungan premis kebajikan berkenaan.
Menurut mereka, setiap sumbangan yang diberikan termasuk dalam bentuk makanan sangat-sangat dihargai, namun situasi itu sering kali menyebabkan berlakunya pembaziran apabila sumbangan yang diterima terlalu banyak.
Pengerusi Rumah Anak Yatim Al Mahabbah, Bukit Raja, Klang, Mahani Kassim berkata, pihaknya sangat menyambut baik dan mengalu-alukan sekiranya mana-mana pihak mahu memberikan sumbangan dalam bentuk wang tunai.
“Melalui pemberian wang, ia dapat membantu kita menjelaskan bayaran sewa yang tertunggak, ada dua tiga bulan kita belum sempat bayar lagi.
“Kita ada lima asrama di sini yang menempatkan 120 penghuni yang mana kos sewanya adalah RM10,000 sebulan.
“Bil elektrik yang perlu dibayar pula adalah antara RM1,250 hingga RM1,500 sebulan dan kita memerlukan kira-kira RM30,000 sebulan untuk menanggung perbelanjaan asrama seperti makan, minum dan bayaran harian lain.
“Setakat ini, premis yang beroperasi sejak tahun 2015 berkenaan memang bergantung kepada hasil sumbangan orang ramai bagi menjelaskan kesemua bil tersebut,” ujarnya.
Pengerusi AO Reds.Com, Azman Othman pula berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mungkin perlu bersifat kreatif dan inovasi dengan tidak hanya menyalurkan sumbangan dalam bentuk makanan.
“Mereka kena berkomunikasi dengan pengurusan rumah anak yatim mengenai bentuk sumbangan yang diperlukan sama ada dalam bentuk kewangan, makanan, perubatan, pakaian dan sebagainya.
“Komunikasi ini penting bagi mengelak sumbangan yang diberi bertukar menjadi lambakan hingga berlakunya pembaziran. Bagi saya, sebaiknya berilah dalam bentuk kewangan supaya mereka dapat beli apa yang diperlukan termasuk membayar bil-bil tertunggak.
“Ini kerana, sudah terlalu ramai NGO yang menyalurkan bantuan dalam bentuk makanan. Seperti kita tahu, makanan biasanya mempunyai tempoh atau tarikh penggunaan tertentu dan tidak dapat bertahan lama,” katanya yang aktif dengan kerja-kerja kebajikan sejak empat tahun lalu.














