fbpx
Gambar hiasan,

Dermawan ‘ghaib’ selepas Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kehadiran bulan Ramadan setiap tahun memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk syarikat korporat untuk turun padang me­nyalurkan sumbangan terutama dalam bentuk makanan kepada rumah-rumah anak yatim di seluruh negara.

Bagaimanapun, situasi berbeza berlaku sebaik bulan ibadah umat Islam itu berakhir apabila tidak ramai pihak yang tampil bagi meneruskan tanggungjawab sosial bagi menyantuni mereka yang memerlukan.

Keadaan itu tidak hanya berlaku kepada rumah anak yatim tertentu, tetapi turut dirasai oleh hampir keseluruhan rumah kebajikan di negara ini.

Pengurus Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Jamaluddin Wahab berkata, pihaknya tidak menafikan pemberian sumba­ngan terutama dalam bentuk makanan sangat rancak ketika bulan Ramadan.

“Bila lepas Ramadan dan hari raya memang agak perlahan. Masih ada sebenarnya yang beri sumbangan, cuma bantuan itu sedikit perlahan.

“Situasi ini memang berlaku setiap tahun. Bulan Ramadan memang ramai yang hulur sumbangan tak kira daripada syarikat besar atau kecil, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga orang perseorangan,”katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Sebahagian anak yatim yang diraikan pihak penyumbang pada majlis berbuka puasa. – GAMBAR HIASAN

Namun katanya, kekura­ngan sumbangan tidak menjejaskan operasi di rumah anak yatim apabila pihak­nya mengambil pendekatan untuk berjimat cermat bagi menampung kos makan minum penghuni.

“Bagi kami, langkah penjimatan amat penting untuk mengurangkan kos makan minum dan juga bil utiliti. Kalau orang beri sumbangan kita terima, kalau tak ada memang kita akan berjimat.

“Saya selalu nasihatkan 150 penghuni di sini agar sentiasa berjimat cermat dan tidak me­lakukan pembaziran kerana kos kita memang ditanggung sepenuhnya hasil daripada pemberian orang ramai. Kita memang tiada pendapatan sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Anak Yatim dan Ibu Tunggal, Noorsidah Yahya turut me­ngakui, sumbangan makanan yang diterima sepanjang Ramadan memang melimpah ruah.

“Bila habis Ramadan memang sumbangan agak perlahan dan tidak semeriah seperti sebelum ini. Mungkin ramai ambil peluang pada bulan tersebut kerana ganjaran pahala yang lebih besar.

“Kami bersikap terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin memberikan sumbangan. Terse­rah kepada mereka nak beri bila, namun sebaiknya pemberian itu dilakukan secara konsisten tanpa mengira sama ada bulan Ramadan atau bulan biasa.

“Jika sumbangan diberi sepanjang masa, ia dapat membantu kos makan minum penghuni sekali gus dapat mengurangkan kos-kos yang sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi NGO Gagasan Warga Klang, Mohd. Hedrhin Ramli berkata, tidak dinafikan ramai NGO yang mengambil peluang pada bulan Ramadan untuk menyalurkan bantuan ke­rana mengejar ganjaran pahala.

“Apa yang dilakukan sudah betul, namun mereka perlu lebih kreatif agar sumbangan yang diberi dapat diterima dan dimanfaatkan oleh penerima.

“Kalau boleh mereka dapat nikmati bantuan tak kira bulan apa, sama ada hari raya atau bulan biasa, yang penting agihan sumbangan sampai dan tidak berlaku pembaziran,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN