fbpx
GOLONGAN OKU penglihatan akan mendapat manfaat daripada pembangunan mashaf al-Quran Braille Malaysia mengikut Rasm Uthmani seperti yang ada pada umat Islam normal di negara ini.

Mashaf al-Quran Braille Malaysia manfaat OKU penglihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Menyedari al-Quran Braille yang ada kini belum mengikut Rasm Uthmani bagi memenuhi keperluan OKU kurang penglihatan di negara ini, satu usaha diambil Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi menghasilkan Mashaf al-Quran Braille Malaysia.

Ia memenuhi keperluan kira-kira 25,000 individu kelainan upaya penglihatan yang beragama Islam untuk membacanya dengan menepati dhabt dan juga rasm yang selari dengan keperluan sebuah mashaf al-Quran Rasm Uthmani.

Proses pembetulan dan penambahbaikan selepas semakan oleh ahli lajnah KDN mengambil masa lebih kurang enam bulan. Boleh dikatakan tempoh diambil secara keseluruhannya lebih kurang empat tahun.

————————————————————————————————————————————————————————-
KELUNAKAN alunan suara seorang pemuda ketika membaca ayat-ayat suci al-Quran menyentuh jiwa setiap individu yang mendengarnya.

Biarpun dilahirkan cacat penglihatan, namun itu bukanlah penghalang buat insan istimewa ini daripada mendampingi ummul kitab tersebut.

Berbekalkan al-Quran Braille, pemuda ini dapat membaca ayat-ayat suci tersebut dengan begitu baik dengan menyentuh susunan titik Braille yang terdapat dalam naskhah itu.

Sejak dahulu lagi, penggunaan al-Quran Braille dalam kalangan individu orang kelainan upaya (OKU) penglihatan sudah tidak asing lagi. Dengan kewujudan al-Quran Braille ini juga membolehkan insan-insan istimewa ini untuk mendampingi dan mengkaji isi kandungan serta pengajaran al-Quran dengan lebih mudah dan terperinci.

Menurut Pensyarah kursus Aplikasi Braille Dalam Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohd. Nur Adzam Rasdi, Braille merupakan satu sistem literasi baca atau tulis yang berasaskan deria sentuhan.

“Ia merupakan kod-kod yang dibina berasaskan kombinasi enam posisi titik yang ditimbulkan.

“Contohnya, huruf alif diwakili oleh kod dengan titik 1. Huruf ta diwakili oleh kod dengan titik 2,3,4 dan 5. Huruf ‘wow’ diwakili oleh titik 2,4,5 dan 6, manakala tanda sukun pula diwakili oleh titik 2 dan 5,” katanya.

Pun begitu, al-Quran Braille sedia ada yang diguna pakai di Malaysia dan juga di kebanyakan negara lain adalah berasaskan kaedah Rasm Imla’i dan setakat ini, belum ada al-Quran Braille yang sepenuhnya dibangunkan mengikut Rasm Uthmani sebagaimana pada mashaf yang digunakan oleh umat Islam normal di negara ini.

Mengambil kira situasi tersebut terutamanya bagi memenuhi keperluan masyarakat OKU kurang penglihatan di negara ini, Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berganding bahu menghasilkan Mashaf al-Quran Braille Malaysia (MQBM).

Penerbitan al-Quran tersebut telah mencipta sejarah baharu kepada negara.

Ini kerana, ia memenuhi keperluan kira-kira 25,000 individu kelainan upaya penglihatan yang beragama Islam untuk membacanya dengan menepati dhabt dan juga rasm yang selari dengan keperluan sebuah mashaf al-Quran Rasm Uthmani.


ALUNAN bacaan al-Quran yang merdu diperdengarkan seorang qari OKU penglihatan menggunakan al-Quran Braille.

“MQBM ini pada mulanya memerlukan kepada pembangunan garis panduan khusus. Bermula 2018, pihak Pertis dengan kerjasama KDN dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memulakan bengkel pembangunan garis panduan penulisan teks al-Quran dalam versi Braille.

“Setelah beberapa siri bengkel dibuat, akhirnya garis panduan terakhir berjaya dibentang dan dipersetujui oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) pada Ogos 2020. Setelah itu, Jakim sebagai penerbit mashaf al-Quran Braille ini melantik pasukan penyalin terdiri daripada 12 orang ahli.

“Pada awal 2021, al-Quran versi Braille ini siap disalin dan kemudian diangkat untuk semakan KDN.

“Proses pembetulan dan penambahbaikan selepas semakan oleh ahli lajnah KDN mengambil masa lebih kurang enam bulan. Boleh dikatakan tempoh diambil secara keseluruhannya lebih kurang empat tahun,” ujarnya.

Terangnya, oleh kerana MQBM merupakan versi yang ditambah baik daripada mashaf Braille sedia ada, maka terdapat beberapa aspek yang diberikan tumpuan utama.

Antaranya, seperti mengemaskini tulisan setiap huruf bagi kalimah al-Quran berserta tanda harakat yang digunakan supaya selaras dengan mashaf bercetak yang digunakan pembaca berpenglihatan serta diiktiraf KDN.

Selain itu, beberapa penambahbaikan yang turut dilakukan adalah seperti peletakan maklumat muka surat bercetak pada teks al-Quran Braille, peletakan maklumat berkenaan mashaf seperti maklumat riwayat bacaan, rasm, dabt dan fawasil serta lain-lain.

“Rasm merupakan cara setiap huruf disusun bagi membentuk kalimah-kalimah al-Quran. Ia berasal daripada susunan para sahabat penulis wahyu sehinggalah kepada usaha yang dilakukan oleh para penyalin al-Quran yang dilantik oleh Saidina Uthman pada era kekhalifahannya.

“Dabt pula merupakan tanda-tanda yang dibentuk bagi membantu pembaca membaca huruf-huruf (rasm). Ia mula direka pada zaman tabi’in dan terus berkembang hingga kini,” ulasnya.

Katanya, dalam kesemua al-Quran Braille yang dicetak di dunia, tiada satu pun meraikan ciri-ciri Rasm Uthmani secara sepenuhnya, begitu juga dengan dabt.

Lantaran itu, MQBM telah diusahakan untuk ditulis sehampir mungkin dengan Rasm Uthmani yang diaplikasi dalam mashaf bercetak versi cetakan Mujamma Malik Fahd yang juga menjadi penanda aras bagi KDN.

“Dari sudut dabt pula, lapan kod baharu diwujudkan dalam MQBM bagi tujuan menyelaraskannya dalam teks al-Quran Braille dengan dabt yang diaplikasi dalam teks al-Quran bercetak.

“Justeru, kod-kod seperti tanda bagi bacaan tashil, isymam dan imalah adalah antara kod-kod baharu yang diwujudkan,” tambahnya.

Ujarnya, antara format penerbitan yang terdapat dalam al-Quran Braille adalah menyediakan satu halaman senarai kandungan menyatakan nama dan nombor surah serta nombor halaman.

Huruf pertama bagi kalimah permulaan setiap ayat al-Quran mestilah ditulis pada sel Braille yang ketiga dan setiap kalimah al-Quran mesti ditulis dengan sempurna dalam satu baris.

Kalimah al-Quran tidak dibenarkan dipisahkan dalam dua baris yang berbeza walaupun disambung oleh tanda sengkang dan sebagainya. Mashaf al-Quran Braille hendaklah ditulis tanpa menggunakan mana-mana kaedah singkatan Braille dan lain-lain lagi.


DENGAN pengenalan mashaf al-Quran Braille Malaysia, pengguna dapat menguasai simbol baharu, seterusnya dapat membacanya dengan lebih baik.

Tambahnya, dengan terhasilnya mashaf ini juga, menjadi bukti bahawa para ilmuan al-Quran tidak mengabaikan golongan OKU penglihatan, bahkan mengiktiraf keperluan dan kemampuan mereka dalam berinteraksi dengan al-Quran setara dengan golongan berpenglihatan.

Ia menjadikan penulisan al-Quran bercetak dengan al-Quran Braille lebih selaras dan secara tidak langsung, membuka ruang kepada aktiviti secara inklusif antara golongan berpenglihatan dengan komuniti OKU penglihatan seperti pembelajaran al-Quran secara bersama-sama, majlis bertadarus dan aktiviti-aktiviti lain melibatkan mashaf al-Quran.

Mengakui situasi tersebut, Guru Pendidikan Khas di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur, Zakaria Yahya berkata, kewujudan MQBM mempermudahkan lagi golongan berpenglihatan dan komuniti OKU bersama-sama bertadarus dan melakukan aktiviti lain.

“Sebenarnya tidak sukar untuk membaca al-Quran Braille, asalkan mereka mengenali huruf-huruf al-Quran dan Arab Braille. Bahkan mengikut penelitian saya, al-Quran Braille yang digunakan dahulu tidak mempunyai tanda baca seperti al-Quran biasa.

“Jadi, tempat berhenti antara al-Quran biasa dan Braille juga berbeza dan tiada keseragaman. Keadaan tersebut menyukarkan golongan OKU penglihatan dan orang biasa untuk bertadarus serta bertalaki bersama.

“Ia mudah dibaca secara bertajwid, sekali gus meminimumkan kesalahan ketika membaca al-Quran, selain memudahkan individu memahami antara rasm dan dabt al-Quran.

“Saya harap agar MQBM yang dihasilkan akan memberi manfaat kepada pengguna OKU penglihatan dan dapat diterima di peringkat antarabangsa kerana kaedah penulisan, hampir dengan Rasm Uthmani,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN