PENGUNAAN pelaris bagi menarik pelanggan untuk mengunjungi sesebuah restoran sering kita baca dan dengar sejak zaman dahulu, hinggakan ada yang sanggup melakukan unsur khurafat seperti menggunakan khidmat jin dan syaitan bagi tujuan tersebut.
Begitulah yang dialami seorang lelaki yang berupaya melihat benda-benda ghaib yang menyeramkan sejak kecil. Dia pernah ternampak lembaga hitam besar, bermata merah dan begitu menyeramkan duduk di atas periuk makanan yang menggelegak di dapur sebuah restoran terkenal ketika kecil.
Sehingga kini, dia masih boleh melihat benda-benda menakutkan itu yang digunakan oleh tauke retoran dan kedai makan untuk menarik pelanggan datang menjamu selera di premis mereka.
————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————-
MELIHATKAN rakan-rakan begitu berselera menikmati juadah di sesetengah restoran viral menyebabkan Ahmad (bukan nama sebenar) hanya mampu tersenyum.
Biarpun pemuda berusia 25 tahun ini mengetahui ada sesetengah restoran tersebut menggunakan susuk pelaris, namun disebabkan tidak dapat membuktikan kepada rakan-rakannya, dia hanya berdiam diri.
Baginya, hendak diluah mati emak, ditelan mati bapa. Pernah sekali Ahmad menyampaikan apa yang dilihatnya itu kepada rakan-rakan, namun dia pula yang ditempelak.
Menurut Ahmad, sehingga kini, dia sendiri masih mencari jawapan bagaimana dia diberi kelebihan melihat makhkluk ghaib yang menyeramkan.
Katanya, pertama kali dia sedar mengenai perkara itu adalah ketika masih kecil sewaktu ibu bapanya membawa dia dan adik-adik yang lain menjamu selera di sebuh kedai makan.
“Membesar dalam sebuah keluarga yang mana ibu dan ayah sibuk bekerja menyebabkan saya dan adik-adik sering dibawa ke kedai makan kerana ibu tidak sempat untuk memasak.
“Biasanya kami dibawa ke kedai-kedai yang popular. Pada waktu itu saya rasakan sungguh seronok kerana berpeluang menikmati pelbagai juadah enak.
“Satu hari selepas menikmati hidangan makan malam di sebuah restoran, saya bergegas mencari tandas untuk membuang air kecil. Kebetulan tandas di restoran itu bertentangan dengan dapur.
“Terkejut saya apabila ternampak dua lembaga hitam yang sangat besar di dapur. Saya menjerit ketakutan kerana lembaga tersebut betul-betul merenung tepat ke arah saya,” katanya.
Ujarnya, mata lembaga itu merah, tubuhnya besar berwarna hitam, manakala kukunya panjang.
Katanya, lembaga tersebut duduk dalam keadaan mencangkung di atas salah satu periuk yang sedang menggelegak, manakala satu lagi ada di siling dengan kepala terbalik.
Ibunya segera datang selepas mendengar jeritan Ahmad.
“Saya pun tidak pasti bagaimana saya boleh terlihat jelmaan tersebut kerana ahli keluarga yang lain tidak dapat melihatnya.
“Bimbang dengan keadaan saya, ibu membawa saya berubat dengan seorang ustaz. Kata ustaz, ‘rezeki’ saya dapat melihat lembaga tersebut.
“Terkejut dengan penjelasan ustaz, kami tidak lagi keluar makan di restoran. Sebaliknya, ibu akan cuba memasak di rumah,” katanya.
Selepas hampir tiga bulan tidak menjejakkan kaki di restoran, mereka kembali menjamu selera di luar dengan harapan insiden menyeramkan itu tidak berulang.
Kata Ahmad, ibu bapanya yakin kelibat yang dilihatnya itu sebagai satu kebetulan.

Begitupun, sangkaan itu meleset kerana dia masih lagi mampu melihat lembaga yang dijadikan sebagai pelaris di restoran.
“Tidak semua restoran menggunakan pelaris. Tetapi jika benar mereka menggunakan, saya dapat merasakan aura tersebut tanpa melihatnya.
“Selalunya saya berasa seram sejuk dan meremang bulu roma. Saya cuba mengelak dariapda melihat bahagian dapur kerana bimbang terlihat sesuatu menyeramkan.
“Seram rasanya apabila mengenangkan wajah lembaga yang pernah dilihat. Ketika kecil saya hampir pengsan, tetapi semakin menginjak dewasa, saya hanya mampu membaca surah-surah yang disarankan dan berlalu dari kedai,” tambahnya.
Terangnya, menerusi pengalaman kebiasaannya restoran yang mempunyai ramai pelanggan walaupun hidangan yang dijual tidak sesedap mana berisiko untuk menggunakan pelaris.
Bukan sekadar lembaga hitam, Ahmad bahkan pernah melihat pelbagai lembaga aneh seperti badan berbulu dan mirip penanggal yang sebelum ini tidak pernah terlintas di fikirannya.
Bagaimanapun kata Ahmad, tidak semua restoran menggunakan pelaris seperti itu lebih-lebih lagi pada zaman moden.
Hari ini, ramai pemilik restoran lebih terbuka dan menggunakan platform media sosial untuk membuat promosi bagi melariskan perniagaan mereka.
Pun begitu, Ahmad tidak menafikan ada sesetengah pengusaha masih menggunakan taktik khurafat itu.
“Ada yang percaya susuk ini mampu membuka pintu rezeki dan membuatkan barang yang dijual laris.
“Tetapi tidak semua. Kelebihan yang saya miliki ini membuatkan saya lebih berhati-hati apabila ingin makan di luar bagi mengelakkan perkara-perkara tidak diingini berlaku,” ujarnya.















