fbpx
Ahli keluarga Muhammad Nasrun Aidol tidak dapat menahan sebak ketika tiba di Hospital Kuala Kangsar semalam.

Bersahabat karib sampai mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA KANGSAR – Persahabatan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang akrab sejak memulakan pengajian dalam bidang masing-masing dibawa hingga ke mati selepas kesemuanya meninggal dunia dalam kemalangan ngeri di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Uta­ra Selatan arah utara dekat Te­rowong Menora di sini semalam.

Rata-rata rakan sekuliah ­mangsa memberi pendapat yang sama kerana mereka menyaksikan bagaimana lima sekawan itu menghabiskan masa dan tinggal bersama sepanjang berada di USAS.

Muhamad Hakimi Rosli, 22, berkata, lima sahabat itu tinggal bersama di sebuah rumah sewa berhampiran USAS dan hubu­ngan mereka terlalu kuat walaupun berbeza umur dan kuliah.

Katanya, Allahyarham Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19; dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, sering melakukan pelbagai akti­viti dalam dan luar waktu kuliah.

“Mereka kawan serumah, memang selalu lepak sekali. Walaupun berbeza pengajian dan usia, mereka berlima boleh jadi rapat dan rakan baik.

“Tak sangka, persahabatan mereka dibawa sampai ke akhir hayat,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar di sini semalam.

Menurut Muhamad Hakimi, lima sahabat itu mempunyai karakter diri masing-masing yang saling melengkapi antara satu sama lain.

Tambahnya, arwah Hasnun seorang yang bertanggungjawab dan rajin tolong kawan, manakala Nasrun pula sangat ramah dan mudah bergaul.

“Iqbal sebelum ini pernah merancang untuk adakan aktiviti berbentuk percutian untuk pe­ngajian, sayangnya hasrat itu tidak kesampaian,” katanya.

Cerita Muhamad Hakimi, ketika mula-mula menerima berita kemalangan itu dia berharap semua selamat dan tidak mengalami kecederaan serius, namun lain pula yang berlaku.

“Sebelum kejadian, lima sahabat itu menaiki kereta sewa ke Ipoh kerana tiada sesi pembelajaran setiap Rabu,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof Dr. Nordin Kardi berkata, lima pelajar itu sepatutnya menduduki peperiksaan semester yang dijadualkan hujung Mei ini.

“USAS akan uruskan apa juga bantuan berkaitan jenazah,” katanya.

Dalam pada itu, sepupu Ahmad Akmal yang dikenali sebagai Imm Kamal berkata, dia tidak menyangka senyuman arwah pada sambutan Aidilfitri lalu adalah yang terakhir dilihatnya.

“Anak yang baik. Walaupun bapanya sakit dan arwah dijaga oleh orang lain, dia sentiasa se­nyum, kuat zikir dan ringan tulang. Arwah sempat hubungi saya dan tanya bagaimana mahu jadi jurugambar tetapi hasratnya tak kesampaian,” katanya.

Seorang ustazah, Aida Hartini Nan berkata, sesi pembelajaran di USAS menjadi suram dengan kejadian itu.

“Tiga daripada lima mangsa merupakan murid saya. Kelas pagi ini (semalam) sangat sayu kerana kawan-kawan masih terkejut dgn pemergian sahabat mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN