PETALING JAYA – Lelaki miang yang ketagih menonton video lucah boleh mengalami masalah mati pucuk atau disfungsi erektil (ED) yang menyebabkan mereka gagal ‘beraksi’ dengan cemerlang kerana kurang berahi kepada pasangan masing-masing.
Video lucah yang dinikmati pada waktu singkat selain mudah ditonton di laman web melalui telefon bimbit pada bila-bila masa terutamanya waktu malam pada hakikatnya mempunyai kesan jangka panjang.
Pakar Sakit Tuan, Dr. Mohd. Ismail Mohd. Tambi berkata, lelaki kerap menonton video lucah kononnya hendak mendapatkan perasaan berahi tetapi sebenarnya mendatangkan bahaya tanpa disedari.
Katanya, si lelaki hanya berahi dengan apa yang mereka tonton dan bukannya terhadap pasangan mereka sendiri.
“Banyak kes yang saya kendalikan melibatkan si lelaki mengalami masalah mati pucuk atau tidak dapat bereraksi dengan pasangan masing-masing.
“Selepas disoal siasat dan diselidiki, mereka mengaku sudah terikat dengan amalan menonton pornografi secara kerap,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Menurut Dr. Mohd. Ismail, jika perkara itu berterusan, ia boleh menyebabkan lelaki mengalami mati pucuk akibat pornografi.
Tambahnya, selain itu, ada juga beberapa faktor lain yang menyumbang kepada ED seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan masalah kolesterol.
“Sekiranya mahu bersama, darah akan mengalir lancar ke zakar dan menjadikan anggota itu tegang.
“Jika perkara itu tidak berlaku, ia boleh disebabkan faktor berkenaan. Oleh itu segera berjumpa dengan doktor supaya boleh dilakukan penilaian dan apabila puncanya sudah dikenal pasti, barulah rawatan boleh diberi,” ujarnya.
Ujar Mohd. Ismail, penghidap ED disarankan tidak memakan ‘pil kuat’ yang kononnya mampu meningkatkan kemampuan seksual sebaliknya berjumpa doktor untuk mengenal pasti masalah sebenar dan rawatan bersesuaian.
Katanya, banyak produk yang dijual tidak mendapat kelulusan kesihatan dan sebilangan mengandungi bahan kimia yang bertaraf racun.
“Jadi, ada kemungkinan sekiranya anda tersalah makan, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan yang ketara seperti strok, masalah buah pinggang, kerosakan pada hati dan lebih buruk lagi menyebabkan maut,” jelasnya.














