KOTA BHARU – Penjual air ketum mendedahkan yang mereka mampu meraih keuntungan besar, namun pada masa sama perlu bersedia dihamun pelanggan yang berang serta marah sekiranya stok kehabisan.
Seorang penjual yang dikenali sebagai Pizol, 40-an, berkata, ia berlaku kerana mereka yang rata-ratanya bekerja sebagai buruh dan kedai makan perlu sentiasa bertenaga.
“Saya perlu bersedia. Jika bekalan air ketum habis atau tiada, ada yang marah kerana mereka bergantung sepenuhnya kepada minuman itu.
“Sebagai penjual, saya perlu berhati-hati dalam setiap urusan jual beli. Kena jaga hati pelanggan, namun pada masa sama tidak mahu kegiatan ini diketahui polis,” katanya yang sudah dua tahun membekalkan air ketum.
Menurut Pizol, kebanyakan pelanggannya merupakan buruh kampung yang sudah memahami dan sanggup membayar pada harga tinggi untuk sebungkus air ketum.
Tambahnya, lebih 10 buruh kampung akan datang ke rumahnya untuk membeli air ketum sebelum bekerja setiap hari.
“Saya memang tidak menang tangan untuk memproses air ketum kerana mendapat permintaan tinggi.
“Daun ketum akan direbus menggunakan periuk besar di rumah sebelum dibungkus untuk pelanggan. Ada yang dijual pada harga RM10, manakala yang dicampur dengan ubat batuk dan air berkarbonat pula RM15 sebungkus,” katanya.
Menurut Pizol, dia terpaksa menjual air ketum itu pada harga yang tinggi kerana sukar memperoleh bekalan daun ketum daripada individu yang membawa bahan tersebut dari sebuah negeri di utara tanah air ke sini. -KOSMO! ONLINE














