fbpx
DARI kiri: Muhammad Syazwan, Azhari dan Zulkifli menunjukkan bintang raya di sebuah bengkel kecil di Batu Ferringhi.

Tanglung raya makin dicari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI Pulau Pinang, masyarakat di sana mempunyai cara tersendiri untuk meraikan malam tujuh likur dengan meletakkan lampu gantung atau tanglung berbentuk bintang di kawasan kediaman masing-masing.

Kaedah pembuatan bintang raya turut mengalami perubahan seiring peredaran zaman, namun kini lebih baik dari segi kualiti.

Jika dahulu, plastik nipis berwarna atau kertas yang digunakan dan ia tidak dapat tahan lama terutamanya jika terkena air, namun kini dengan menggunakan kanvas plastik yang lebih tebal  boleh bertahan sehingga tiga ke empat tahun.
————————————————————————————————————————————————————————————

PADA satu petang Ramadan sekitar tahun 1980-an, sekumpulan anak muda Kampung Mutiara di Batu Ferringhi, Pulau Pinang berkumpul di tepi pantai sementara menunggu waktu berbuka puasa.

Tidak sekadar berbual-bual kosong sambil mendengar deruan ombak, sebaliknya mereka tekun mempelajari cara membuat lampu gantung atau tanglung berbentuk bintang.

Mereka mendapat tunjuk ajar daripada ‘guru’ iaitu seorang lelaki tua berkemahiran menghasilkan lentera tersebut atau lebih popular digelar bintang raya. Pada bahagian dalam lampu bintang berangka buluh itu terdapat bahagian khas untuk diletakkan pelita minyak tanah bagi dinyalakan pada waktu malam.

Antara yang turut berada dalam kelompok anak-anak muda kampung berkenaan ialah Azhari Zakaria yang kini sudah berusia 42 tahun.

Dia begitu berminat mempelajari teknik pembuatan perhiasan tradisi masyarakat Pulau Pinang yang menerapkan elemen geometri itu kerana mempunyai nilai kesenian dan keunikan.

Pengalaman manis dan pembelajaran yang ditimbanya sejak lebih 30 tahun lalu itu juga masih segar dalam ingatan sehingga kini.

“Apabila bintang raya yang berwarna-warni dibalut plastik lutsinar sudah siap dibuat, kami akan membawa pulang hasil kerja masing-masing untuk digantung sama ada di halaman atau serambi rumah.

“Kemeriahan malam tujuh likur ketika itu amat terasa kerana cahaya lampu minyak tanah di dalam bintang raya menghiasi hampir di kesemua rumah penduduk seperti masing-masing berlumba-lumba menggantungnya,” ujar Azhari kepada kru Panorama baru-baru ini.

SINARAN tanglung berbentuk bintang atau dikenali sebagai bintang raya kini lebih terang dengan penggunaan lampu LED.

Enggan melihat nyawa perhiasan tradisi itu semakin malap ditelan zaman, Azhari bersama dua sahabatnya iaitu Zulkifli Ahmad, 42, dan Muhammad Syazwan Abu Bakar, 36, mengambil inisiatif menjalankan perusahaan sampingan menjual bintang raya pada bulan Ramadan.

“Kami menjalankan perusahaan kecil-kecilan ini sejak tahun 2018 lagi dan sebelum ini kami menerima tempahan bintang raya pelbagai saiz iaitu satu, dua dan tiga kaki.

“Namun, demi menjimatkan masa, tahun ini kami menyeragamkan saiznya iaitu tiga kaki (0.9 meter) yang setiap satunya seberat kira-kira 600 gram,” kata Azhari yang merupakan pemandu bot pelancong.

Sementara itu, menurut Zulkifli, kaedah pembuatan bintang raya turut mengalami perubahan seiring peredaran zaman, namun kini lebih baik dari segi kualiti.

“Jika dahulu, plastik nipis berwarna atau kertas yang digunakan dan ia tidak dapat tahan lama terutamanya jika terkena air, namun kini kami menggunakan kanvas plastik lebih tebal yang boleh bertahan sehingga tiga ke empat tahun.

“Penggunaan lampu kelip-kelip LED juga kini lebih sesuai kerana menjimatkan elektrik dan lebih ceria berbanding penggunaan lampu mentol sebelum ini atau pelita minyak tanah pada zaman dahulu.

“Walaupun terdapat evolusi dari segi kaedah pembuatannya, namun rekaan dan bentuk pelita raya tetap sama iaitu bintang berbucu lima, tujuh, sembilan atau 14,” katanya.

Tambah Azhari, biarpun ia kelihatan ringkas, namun kemahiran tinggi dan penelitian amat diperlukan dalam menghasilkan sebuah bintang raya yang bentuknya seimbang di setiap penjuru.

“Dari segi peralatan dan bahan yang diperlukan adalah buluh yang diraut, pembalut kanvas plastik, lampu LED sepanjang 10 meter, dawai, pelekat, pengikat kabel dan pisau lipat yang tidak memerlukan kos terlalu tinggi.

“Namun, kerana aspek penelitian begitu penting dalam penghasilannya membuatkan ia lebih bernilai dan kami menjualnya pada harga RM90 seunit dengan rekaan warna mengikut tempahan pelanggan,” ujarnya yang mempelajari pembuatan bintang raya daripada bapanya.


ZULKIFLI menunjukkan kemahirannya membuat rangka berbentuk bintang daripada buluh.

Mengakui budaya menghiasi rumah dengan bintang raya sudah semakin malap, Zulkifli berkata, permintaan terhadap perhiasan lampu tersebut juga semakin berkurangan, namun masih mempunyai peminat tersendiri.

“Sebelum ini, kita banyak terima tempahan dari hotel sebagai perhiasan di meja bufet Ramadan atau di lobi, tetapi tahun ini tiada tempahan.

Mungkin kerana pihak hotel masih terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Namun begitu, kami tetap tidak menang tangan menerima tempahan pelanggan perseorangan dan pengusaha kedai terutamanya mereka di sekitar Batu Ferringhi,” katanya.

Dalam pada itu, kongsi Muhammad Syazwan, bagi memastikan usaha penghasilan bintang raya yang mengambil masa kira-kira lima jam untuk disiapkan berjalan lebih lancar, tugasan diagih-agihkan mengikut kemahiran masing-masing.

RANGKA buluh berbentuk bintang dibalut dengan kanvas plastik berwarna-warni.

“Zulkifli berperanan membuat rangka, Azhari akan membalutnya dengan kanvas berwarna mengikut permintaan pelanggan dan saya akan memasang lampu LED pada bahagian dalamnya.

“Selain itu, dari segi persediaan bahan asas rangkanya yang memerlukan buluh berkualiti, kami sudah masuk ke dalam hutan di atas bukit berdekatan Batu Ferringhi sejak sebelum Ramadan lagi untuk mencari buluh,” katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan berasal dari Pulau Pinang, Faizal Izuwan Ishak, 43, berkata, dia menempah bintang raya untuk dipasang di rumah mentuanya di Baling, Kedah sempena Hari Raya Aidilfitri bagi meneruskan tradisi itu.

“Memang tidak jumpa bintang raya (dijual dan dipasang) di Baling, justeru saya menempah seunit buat mentua untuk dihiasi pada hari raya,” katanya.


PERMINTAAN terhadap bintang raya daripada orang ramai tetap ada.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN