KOTA BHARU – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan menafikan dakwaan yang mengatakan ketiadaan bekalan air di kawasan kebakaran sembilan buah rumah di Berek 12 di sini semalam menyebabkan pihaknya perlu menggunakan punca air tambahan daripada tangki khas jentera bomba.
Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin berkata, keadaan tekanan air yang rendah di kawasan itu menyebabkan bomba perlu menggunakan punca air tambahan melalui tangki simpanan jentera bomba dari tiga jentera bomba.
Menurutnya, penggunaan tangki itu merupakan perkara biasa semasa kerja-kerja mengawal kebakaran di sesebuah lokasi.
“Tidak cukup dengan tangki itu, anggota terlibat turut menggunakan tangki simpanan yang menyimpan 20,000 liter air yang dibawa khas untuk menambah baik operasi memadam kebakaran dan mengawal api supaya tidak terus merebak ke kawasan lain.
“Selain tekanan air rendah, keadaan cuaca panas dan struktur binaan rumah kayu yang rapat turut menyebabkan api cepat merebak dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, keterujaan lima buah keluarga untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi terjejas selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran yang dipercayai berpunca daripada mercun di Berek 12 di sini semalam. -KOSMO! ONLINE
















