GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang menyeru rakyat negeri ini supaya meneruskan amalan pemakaian pelitup muka ketika berada di dalam bangunan, lokasi tertutup dan juga ketika menggunakan pengangkutan awam termasuk kenderaan e-hailing.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, orang ramai juga amat digalakkan untuk memakai pelitup muka di kawasan terbuka dan sesak terutamanya golongan berisiko seperti warga emas serta kanak-kanak.
”Sebagaimana kita maklum, pelitup muka adalah diibaratkan sebagai ‘perisai terakhir’ dalam melindungi diri kita daripada terkena jangkitan virus Covid-19, malah, amalan penjarakan fizikal juga adalah amat digalakkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kementerian Kesihatan memutuskan pemakaian pelitup muka di luar bangunan tidak lagi diwajibkan bermula 1 Mei ini. – KOSMO! ONLINE
















