GEORGE TOWN – Seorang tahanan lelaki yang meloloskan diri dari Balai Lokap Berpusat di Bayan Baru di sini tengah malam selasa lalu berjaya ditahan semula oleh polis petang semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan di dalam bilik di sebuah chalet di Batu Kurau, Perak kira-kira pukul 6.30 petang.
Jelasnya, penahanan terhadap suspek dibuat hasil maklumat yang disalurkan oleh orang awam selain risikan pihak polis yang mengaktifkan operasi bagi mengesannya.
“Ketika ditahan suspek didapati mengalami masalah penyakit kulit yang teruk akibat alahan dan diberi rawatan di Hospital Pulau Pinang.
“Kita masih menjalankan siasatan bagaimana suspek boleh melarikan diri hingga ke kawasan tersebut termasuklah sama ada dia mendapat bantuan daripada sesiapa,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen polis (IPK) Pulau Pinang sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam 26 April lalu, lelaki tersebut yang ditahan kerana kesalahan dadah pada 20 April lalu di Jelutong di sini disedari meloloskan diri dari lokap tersebut.
Ekoran itu, seramai enam anggota polis berpangkat Konstabel, Koperal dan Lans Koperal berusia 20-an hingga 30-an ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes tersebut.
Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily berkata, siasatan mendapati lelaki tersebut melarikan diri dari lokap berpusat tersebut tanpa bantuan sesiapa termasuk anggota polis yang bertugas.
Jelasnya, lelaki itu kini direman empat hari bermula hari ini dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 223 serta 224 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan sama beliau menambah, siasatan pihaknya mendapati wujud elemen kecuaian dalam kejadian tersebut dan polis ketika ini sedang melengkapkan kertas siasatan terhadap anggota polis yang terlibat.
“Dalam kertas siasatan ini juga kita akan usulkan tindakan yang sesuai kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Enam anggota m tersebut telah dibebaskan daripada reman hari ini dan mereka turut dipindahkan ke bahagian lain sehingga siasatan selesai,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















