PASIR MAS – Cubaan pasangan suami isteri untuk menyeludup pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM17,600 gagal apabila kereta yang dinaiki ditahan di tepi jalan Pasir Mas-Rantau Panjang di sini semalam.
Suspek berusia 38 dan 42 tahun itu dicekup pukul 10 malam semasa menaiki kereta jenis Proton Saga.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, anggota unit kereta peronda (MPV) melihat sebuah kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan di persimpangan lampu isyarat Kampung Lati-Lubok Jong di sini.
Anggota polis mengarahkan pemandu kereta untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan.
“Pemeriksaan ke atas kereta itu menemui kotak-kotak berisi mercun dan bunga api seludup yang dianggarkan bernilai RM17,600.
“Suspek dan kesemua rampasan termasuk kereta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. -KOSMO! ONLINE














