PETALING JAYA – Sebanyak 15 kawasan di ibu negara dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran kerja-kerja pembaikan paip pecah di rumah pam di Taman Muda, Cheras.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Tamatelina Baseri berkata, operasi pembaikan tersebut kini sedang dilaksanakan bermula pukul 3 petang, tadi.
“Kerja-kerja pembaikan ini dijangka akan siap sepenuhnya pada pukul 3 pagi, esok.
“Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna setelah kerja-kerja pembaikan siap dilaksanakan,” katanya dalam satu hantaran hari ini.
Tamatelina berkata, bantuan alternatif melalui lori-lori tangki akan digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
Sehubungan itu, katanya, Air Selangor ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mengamalkan pemakaian pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki.
“Kami akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.
“Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300,” ujarnya.
Senarai Kawasan Terjejas:
1. BUKIT PERMAI INDUSTRI
2. KAMPUNG CHERAS BARU
3. PANDAN BISTARI
4. TAMAN BUKIT PANDAN
5. TAMAN BUKIT PERMAI
6. TAMAN BUKIT TERATAI
7. TAMAN MAWAR
8. TAMAN MEGA JAYA
9. TAMAN MELUR
10. TAMAN MESTIKA
11. TAMAN MUDA
12. TAMAN PANDAN MEWAH
13. TAMAN PUTRA
14. TAMAN SAGA
15. TAMAN SERAYA
KOSMO! ONLINE
















