fbpx

Shahir belum sedia bercinta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAHIR ZAWAWI

SERING diasak pertanyaan tentang perkahwinan, pemilik nama lengkap, Ahmad Shahir Zawawi itu terus menerus mengatakan bahawa statusnya buat masa sekarang masih solo.

Kata Shahir, 34, kalau diikutkan hati, memang ingin disegerakan perihal menamatkan zaman bujang, namun sehingga kini masih belum ditemukan realiti matlamat tersebut.

“Statusnya belum berpunya. Sekarang ini, saya sibuk dengan kerja sebab kita semua pun baru nak ‘bernafas’ semula selepas sebelum ini diuji dengan pandemik Covid-19.

“Industri baru rancak kembali. Sekarang ini sebab banyak sangat isu dan saya sendiri belum berjumpa dengan jodoh sesuai.

“Saya ada masalah nak buat banyak benda dalam satu masa. Saya rasa dah pernah ceritakan tentang perkara ini kepada kalian semua. Jadi, kalau saya kerja, takut benda itu (peribadi) mengganggu. Jadi biar kita fokus apa yang terbentang di depan mata,” kata pelantun lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu.

Masih single

Disebabkan tidak boleh fokus dengan banyak benda dalam satu masa, ditanya sekiranya kelak dia berjumpa dengan seseorang, adakah keadaan itu akan membuatkan dirinya kembali menghilangkan diri, jawab Shahir: “Tiadalah sampai begitu. Saya belum bersedia nak berpacaran.

SHAHIR muncul dengan single terbaharu berjudul Qasidah Untuk Qamilah duet bersama Mawi.

“Saya pun baru sahaja nak keluar lagu baharu. Lagu terakhir yang saya kongsikan kepada peminat sekitar lapan hingga sembilan tahun lepas.

“Fokus ke arah kerja dahululah, lebih baik begitu. Kita merancang, tapi alhamdulillah setakat ini saya tak menghilang lagi kan? (ketawa).”

Pernah suatu ketika namanya menjadi kegilaan ramai usai tamat ‘graduasi’ program realiti Akademi Fantasia musim 8 (AF8), Shahir tunduk dengan kehendak industri bahawa zaman kegemilangannya sudah berakhir. Kini, dia hanya meneruskan pelayaran dengan bakat yang dipinjamkan Allah SWT.

“Perjalanan macam mana sekalipun, kita kena lalui. Tuhan akan aturkan kedudukan atas atau bawah. Apa yang penting, kita kena sedar yang kita tak boleh elak perjalanan semua itu.

“Atas atau bawah, ujiannya tetap sama. Jadi, saya hanya meneruskan perjalanan dan kita cuba jadi yang lebih baik.

“Insya-Allah kalau ada ruang, saya nak terlibat juga dalam bidang lakonan, namun buat masa sekarang, fokus saya memang 100 peratus dalam dunia nyanyian dan terbaharu, mengacara,” luahnya yang baru sahaja muncul dengan single terbaharu berjudul Qasidah Untuk Qamilah duet bersama Mawi.

Media sosial ada keburukan

Melanjutkan bicara, lelaki kelahiran Kampar, Perak itu ditagih pendapat peribadinya berkenaan landskap industri masa kini yang mudah tersepit dengan perihal berkaitan gosip murahan demi melariskan sesuatu perkara.

Menyedari banyak kekecohan yang timbul dalam industri seni tanah air sejak akhir-akhir ini, Shahir menyarankan dan menyeru orang ramai agar memainkan peranan masing-masing.

 

TIDAK hanya tertumpu dalam bidang nyanyian, Shahir turut mengorak langkah menceburi dunia pengacaraan.

Ujarnya, budaya mengecam tanpa usul periksa patut dihindari masyarakat demi kehidupan aman bersama.

“Saya rasa apa jua bentuk yang kita lihat seperti yang digambarkan itu mungkin satu ujian.

“Kita cuba ambil dari sudut yang positif. Kalau seseorang berkelakuan sebegitu, barangkali dia ada masalah sendiri yang kita tak tahu pun.

“Kadang-kadang, kita yang melihat ini pun diuji juga sama ada kita mengecam semata-mata atau tampil bantu mereka untuk berubah,” kata Shahir.

Gunakan untuk tujuan baik

Sehubungan itu, anak pertama dari lima orang adik-beradik itu berharap orang ramai tidak hanya pandai mengecam, namun pada masa sama, belajar untuk memaafkan dan sama-sama perbetulkan apa yang salah.

“Saya menyeru untuk sama-sama membantu sahabat-sahabat kita yang sedang berdepan ujian.

“Mungkin ada kelemahan dari segi cara mengendalikan media sosial dan kita sebagai saudara seagama sepatutnya saling menasihati.

“Jangan diperbesarkan isu dengan mengecam sebab tiada manusia yang tak buat silap di dunia ini.

“Jadi, cuba maafkan dan insya-Allah, kita perbetulkan sama-sama. Kita tengok silap orang lain tapi tak tengok salah diri sendiri. Bagi saya, kalau semua sibuk mengecam, akhirnya orang yang buat silap akan kekal begitu,” ujarnya.

MASIH aktif dalam dunia nyanyian, ujar Shahir, matlamat seninya kini sudah berubah dan ingin menyuntik mesej-mesej positif kepada para peminat. Foto – FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

Diminta komen lebih terperinci tentang dampak media sosial kepada masyarakat, penyanyi itu percaya bahawa platform tersebut mempunyai kesan baik dan buruk.

“Bagi saya kita kena akur dengan realiti peredaran masa. Kalau begitulah rentak hari ini, kita perlu tunduk, namun pada masa sama harus bijak.

“Sebagai analogi, pisau kalau dapat pada tangan orang yang betul, dia akan gunakan untuk tujuan betul.

“Dia nak potong makanan, memasak dan sebagainya. Tapi, jika dapat pada orang yang salah, dia akan pergi tikam orang.

“Jadi, media sosial adalah bagaimana cara kita mengendalikan. Itulah yang perlu dididik. Saya rasa patut ada pengisian terutama untuk mendidik orang ramai supaya menggunakan platform tersebut dengan cara betul,” tutup Shahir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI