fbpx
PROGRAM Team juga membantu memupuk sifat yakin diri dalam kalangan para peserta untuk bercakap dengan orang ramai menerusi aktiviti pembentangan kumpulan.

Bina semula masa depan anak muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Program Team merupakan kursus pembangunan belia bertujuan membantu golongan belia bersasar seperti remaja yang tiada keluarga, bermasalah tingkah laku, bekas pesalah juvana dan sebagainya untuk berintegrasi semula secara bermakna ke dalam masyarakat menerusi penawaran tiga peluang utama iaitu pendidikan, latihan dan pekerjaan.

Ia merupakan program selama sembilan minggu bagi membantu golongan belia bersasar untuk pembangunan diri mereka menerusi tiga peluang utama iaitu pendidikan, latihan dan pekerjaan. Melalui program itu, peserta akan dibantu untuk menyambung pelajaran, mendapatkan pekerjaan ataupun menjadi usahawan.

Belia bersasar yang dimaksudkan meliputi anak muda tidak berkeluarga, bekas pesalah juvana, bermasalah tingkah laku dan sebagainya.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————–

“SAYA mungkin seorang yang tiada masa depan kerana bersekolah sehingga tingkatan dua sahaja.

“Masalah keluarga telah menyebabkan saya tidak mendapat pendidikan yang sempurna,” luah remaja berusia 16 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Haikal.

Menurut Haikal, sejak kecil dia langsung tidak pernah bertemu dengan bapanya.

Ibu Haikal kemudian membawa dirinya berhijrah dari Perak ke Kuala Lumpur.

Namun, lebih malang bagi Haikal apabila ibunya tiba-tiba melarikan diri dan meninggalkan dia bersendirian. Haikal yang ditinggalkan tanpa sebarang dokumen kemudiannya meneruskan hidup di pusat penjagaan anak yatim, Asrama Sentosa di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Masa depan Haikal bagai ada sinar semula apabila dia berkesempatan mengikuti Program Team yang dianjurkan Selangor Youth Community (SAY) di bawah naungan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan kerjasama Prince’s Trust International (PTI) baru-baru ini.

Program Team adalah satu program pembangunan belia selama sembilan minggu bagi membantu golongan belia bersasar untuk pembangunan diri mereka menerusi tiga peluang utama iaitu pendidikan, latihan dan pekerjaan. Melalui program itu, peserta akan dibantu untuk menyambung pelajaran, mendapatkan pekerjaan ataupun menjadi usahawan.

MENERUSI program ini, anak-anak muda penghuni institusi JKM didedahkan untuk merangka masa depan kehidupan mereka.

Belia bersasar yang dimaksudkan meliputi anak muda tidak berkeluarga, bekas pesalah juvana, bermasalah tingkah laku dan sebagainya.
Haikal berkata, program tersebut meyakinkannya bahawa dia turut boleh mempunyai masa hadapan yang cerah.

“Setiap orang mempunyai masa depan. Kini saya mengerti bahawa kita perlu berusaha untuk mencapai cita-cita dan impian dalam mengubah kehidupan.

“Melalui program ini, saya diberi pendedahan tentang apa yang perlu saya lakukan untuk mencapai cita-cita,” jelasnya yang bercita-cita menjadi anggota pasukan beruniform dan juga juruteknik pendawaian elektrik.

Kongsi Haikal, sebolehnya dia ingin menyambung persekolahan dan sekurang-kurangnya memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengejar cita-citanya itu. Pihak penganjur program akan membantu membolehkan dia kembali bersekolah.

Tambah Haikal, program tersebut juga telah membina keyakinan dirinya.

“Sebelum ini saya bukan seorang yang mempunyai keyakinan diri untuk bercakap dengan orang ramai.

“Namun, dalam program ini saya harus melakukan pembentangan kumpulan di hadapan orang ramai dan saya berjaya melakukannya walaupun sedikit gementar,” ujarnya.

Seorang lagi peserta yang mahu dikenali sebagai Carmen, 17, berkata, dia program tersebut mengajarnya pelbagao perkara..

“Peserta juga diajar bagaimana cara menguruskan kewangan dengan baik, mencari pekerjaan, menjalankan perniagaan dan lain-lain lagi.

“Saya bercita-cita menjadi model atau pelakon dan saya telah didedahkan tentang apa yang saya perlu lakukan dalam menggapai impian ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SAY, Nurul Azwa Rodzi berkata, sejak dimulakan pada Jun 2020, program itu telah membuat beberapa siri pengambilan peserta melibatkan remaja di bawah umur 18 tahun dengan kerjasama JKM.

MELALUI modul dinamik yang dirangka, anak-anak muda ini dibimbing untuk menjadi insan yang lebih berguna.

Beliau berkata, melalui kursus dengan aktiviti ketat yang ditawarkan, program itu bertujuan menjadi pemangkin kepada peserta untuk berintegrasi semula secara bermakna ke dalam masyarakat melalui peluang pekerjaan, pendidikan dan latihan.

“Menyedari golongan muda semakin memerlukan peluang ini berikutan penularan Covid-19, kerjasama tersebut melibatkan penyertaan peserta daripada kategori berkeperluan tinggi dan berisiko berusia bawah 18 tahun dari institusi-institusi di bawah JKM.

“Sepanjang sembilan minggu ini, para peserta melalui perjalanan intensif penemuan diri dan pemadanan kemahiran yang akan memberi mereka peluang kedua serta membantu mereka merancang masa depan mereka,” katanya.

Nurul Azwa berkata, program itu, memberi hasil yang positif dalam kalangan peserta apabila mereka boleh memilih sama ada untuk menyambung pelajaran, mencari pekerjaan atau menjadi usahawan. Pihaknya akan berusaha untuk membantu merealisasikan hasrat para peserta itu.

Menurutnya, hampir 84 peratus peserta yang telah menyertai program itu telah berbuat demikian.

“Antara latihan dan pendedahan diberikan kepada peserta juga ialah kerja berpasukan. Kita dapati, pada awal program, ada peserta yang sangat malu dan sukar melakukan kerja berpasukan. Namun, setelah mengikuti program ini, mereka menjadi lebih berani untuk bergaul dengan orang ramai yang berlainan latar belakang.

“Selain itu, kita dedahkan juga mereka dengan kerja-kerja komuniti seperti melaksanakan program membasuh kereta bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Tambah Nurul Azwa, peserta yang menyertai program itu juga diberi penempatan kerja selama dua minggu bagi menimba pengalaman.

Selepas sembilan minggu menyertai program berkenaan, pemantauan berterusan diberikan kepada peserta untuk memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat dan suasana di tempat kerja.

Di samping itu, satu memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai antara SAY dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui JKM bagi memupuk semangat kolaboratif jangka panjang kedua-dua pihak yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat melalui program-program yang dijalankan.

KURSUS selama sembilan minggu ini turut membolehkan golongan belia bersasar mencapai kejayaan dalam hidup.

Selain itu, sebahagian daripada rangka kerja program juga, satu MoU telah ditandatangani bersama Manforce Group Berhad, sebuah badan swasta bertindak sebagai agensi pekerjaan yang diluluskan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Kerjasama ini bertujuan menghubungkan golongan muda peserta Program Team dengan peluang pekerjaan dalam pelbagai industri selepas tamat sesi latihan menerusi jaminan peluang pekerjaan.

Dalam pada itu, Tengku Amir Shah menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan semua anak muda yang menyertai program tersebut dan berharap SAY dapat membantu ramai lagi belia di luar sana.

“Daripada pembentangan hari ini, kita dapat melihat bagaimana anak muda kita mempunyai keinginan untuk mencapai matlamat mereka dan menjadi lebih baik dalam kehidupan.

“Bagaimanapun, kita harus akui bahawa sesetengah golongan berdepan dengan pelbagai cabaran yang menghalang mereka mencapai potensi mereka sepenuhnya,” titah baginda.

Baginda menambah, Program Team disasar membantu belia mengharungi cabaran yang mereka hadapi.


TENGKU AMIR SHAH (tengah) dan Siti Zailah (kanan) semasa sesi menandatangani satu MoU antara SAY dan Jabatan Kebajikan Masyarakat baru-baru ini.

Katanya, pelbagai modul dinamik dirangka selain kerjasama dijalin dengan pelbagai organisasi bagi memberi pendedahan dan peluang kepada golongan belia.

“Kami sentiasa percaya pada keberkesanan dan kesan positif daripada tindakan kolektif orang ramai.

“Kami juga mengalu-alukan mereka yang turut berkongsi nilai dan objektif yang sama dengan kami di Program Team dalam memacu perubahan kehidupan golongan belia bersasar di luar sana,” titah baginda.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN