fbpx
Terence Naidu (tiga dari kiri) ketika hadir ke Mahkamah Majistret di Bukit Mertajam hari ini.

ADUN Pasir Bedamar mengaku tidak bersalah ambil dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya pada Januari lalu.

ADUN negeri Perak berusia 54 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberikan kepada diri sendiri dadah berbahaya jenis 3,4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA) yang ditetapkan di Bahagian III dari Jadual Pertama, Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam di sini kira-kira pukul 12.13 tengah malam pada 14 Januari lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, manakala tertuduh diwakili peguam Ramkarpal Singh dan RSN Rayer.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 beserta seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes 17 Mei depan.

Terdahulu, akhbar melaporkan ADUN berkenaan ditahan dalam serbuan polis di sebuah pusat hiburan di Perai di sini pada Januari lalu sebelum ujian air kencingnya didapati positif dadah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN