fbpx
ORANG ramai berpusu-pusu membeli keperluan untuk menyambut Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman. - SHIDDIEQIIN ZON

Ribuan manusia serbu Jalan TAR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Selepas dua tahun ibu kota ‘sunyi’ tanpa pengunjung akibat pandemik Co­vid-19, situasi berbeza dapat dilihat pada tahun ini apabila ribuan orang membanjiri pusat beli-belah untuk mendapatkan pelbagai barangan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Paling mencuri tumpuan adalah lokasi jualan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Jalan Masjid India dan kawasan sekitarnya apabila pengunjung mula membanjiri premis perniagaan seawal pukul 8 pagi.

Tinjauan Kosmo! sejak dua hari lalu mendapati, selain biskut, baju kurung dan baju Melayu, orang ramai turut mendapatkan perhiasan rumah termasuk langsir dan permai­dani.

Rata-rata mereka yang ditemui tidak kisah berbelanja lebih pada tahun ini kerana mahu ‘me­laram’ dan bergaya ketika pulang ke kampung selepas dua tahun beraya di perantauan.

Wajah kegembiraan turut dilihat pada ratusan peniaga apabila mereka tidak menang tangan melayan pengunjung dengan rata-ratanya menawarkan diskaun antara 20 hingga 30 peratus.

Seorang suri rumah, Farhana Rosli, 33, berkata, dia sekeluarga bersemangat mahu meraikan Aidilfitri tahun ini selepas dua tahun terpaksa beraya di Kuala Lumpur.

Katanya, mereka sekeluarga akan pulang ke Seremban, Negeri Sembilan.

“Saya memperuntukkan RM500 untuk baju raya tahun ini dengan tema warga merah va­lentino. Aidilfitri tahun ini lebih meriah kerana sudah dua tahun berturut-turut kita terkurung kerana pandemik,” katanya.

PENGUNJUNG mula membanjiri Jalan Tuanku Abdul Rahman semalam seawal pukul 8 pagi lagi. – AMIR KHALID

Seorang pekerja swasta, Roydean Osman, 49, berkata, dia sekeluarga memilih Jalan TAR bagi membeli kelengkapan raya kerana banyak pilihan selain harga ditawarkan mampu milik.

“Tahun ini kami beraya dengan dua helai baju sedondon, kami mahu merayakan Aidilfitri de­ngan penuh semangat. Saya ada empat orang anak dan kami memilih warna biru diraja dan hijau zamrud.

“Diharapkan raya tahun ini lebih baik kerana dapat melawat keluarga dan boleh berjalan-jalan untuk mengubat rindu,” ujarnya.

Seorang pekerja swasta, Yusra Syahidah Mohd. Yusuf berkata, dia memperuntukkan RM700 untuk dirinya, suami dan anak perempuannya berusia dua tahun meliputi baju raya, kasut dan pelbagai aksesori pada sambutan kali ini.

Katanya, jumlah itu meningkat berbanding tahun sebelum ini kerana kesemua berpeluang meraikan lebaran di Ipoh, Perak dan Johor Bahru.

“Semangat lain macam tahun ini, saya tiba seawal 9 pagi untuk mendapatkan kelengkapan raya. Belanja lebih sedikit selepas dua tahun ‘menyimpan, tapi tidaklah sampai membazir,” katanya.

Tidak ketinggalan seorang pengunjung, Sunibah Rakib, 44, yang turut tidak melepaskan peluang membeli langsir dan baju kurung untuk dibawa pulang ke Surabaya.

“Tahun ini lebih bermakna kerana saya berpeluang untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga di sana,” ujarnya.

Sementara itu, seorang peniaga songkok, Farhan Abdullah, 33, berkata jualan songkoknya me­lonjak naik dan dia tidak menang tangan melayan pelanggan berbanding dua tahun lepas.

“Tahun ini saya dapat melihat gelombang pembelian yang luar biasa dan Jalan TAR kembali meriah dengan orang ramai yang membeli-belah.

“Rata-rata mereka membuat pembelian yang banyak ibarat balas dendam beraya,” ujarnya.

Bagi peniaga pakaian, Muhammad Nasrat, sambutan orang ramai sangat mengalakkan sejak seminggu lalu dan ini memberi nafas lega buat peniaga.

“Kami dalam kemeriahan melayan pelanggan, dari pagi tidak putus-putus orang datang.

“Keuntungan yang saya perolehi juga menunjukkan kadar peningkatan yang tinggi berbanding tahun-tahun lepas,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN