LONDON – Prinsipal Mercedes, Toto Wolff optimis pasukan kejuruteraannya dapat menyelesaikan masalah pada jentera pasukan mereka, W13 yang dilihat agak bergelut untuk berada pada prestasi terbaik pada awal saingan Formula Satu (F1) musim ini.
Sebagai rekod, Mercedes yang merupakan juara dunia bagi kategori pengeluar buat kali kelapan berturut-turut sebelum ini gagal memberikan prestasi yang diharapkan dengan hanya menduduki tangga kelima pada aksi kelayakan Grand Prix (GP) Bahrain yang lepas.
Kata Wolff, kemelut yang melanda pasukan ketika ini bukanlah isu yang besar dan sudah pasti semua pihak ketika ini sedang bekerja keras untuk menyesuaikan jentera dengan peraturan baharu F1 bermula musim ini.
“Ini bukanlah kali pertama saya berada dalam tekanan sepanjang karier kerana sebelum ini turut sering dipersoal mengenai prestasi jentera pasukan. Kita sudah jangka musim ini akan bermula seperti yang berlaku sekarang memandangkan peraturan baharu yang digunakan.
“Namun, saya percaya jurutera kami sedang bekerja keras untuk memperbaiki kelemahan yang ada dan pasti boleh mendapat keputusan yang diharapkan pada Grand Prix (GP) Itali Ahad ini kerana kita masih memiliki ramuan juara,” katanya.
Meskipun jentera pasukan agak bergelut, pelumba kedua Mercedes, George Russell mencipta fenomena tersendiri apabila menduduki tangga kedua keseluruhan di belakang jaguh Ferrari, Charles Leclerc dengan perbezaan 34 mata.
“Saya agak terkejut kerana jentera pasukan tidak berada pada tahap terbaik, tetapi saya masih mampu mengutip jumlah mata yang positif. Sudah pasti momentum cemerlang pada awal musim menaikkan motivasi saya untuk terus cemerlang pada perlumbaan akan datang,” kata Russell. – AGENSI