KUALA TERENGGANU – Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperkosa seorang pelajar perempuan tingkatan dua yang dikenali menerusi aplikasi WhatsApp pada tujuh bulan lalu.
Tertuduh, Raja Mohd. Yusof Raja Husin, 25, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa merogol mangsa yang juga remaja perempuan berusia 14 tahun lima bulan di sebuah rumah di daerah Marang pada 9 September 2021.
Raja Mohd. Yusof didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Hakim Nooriah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.
Beliau juga melarang Raja Mohd. Yusof menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang tempoh prosiding serta menetapkan sebuatan semula kes pada 12 Mei depan. -KOSMO! ONLINE
















