PETALING JAYA – Perebutan harta pusaka dalam kalangan ahli keluarga menyebabkan aset-aset yang ditinggalkan oleh arwah ibu bapa terbiar begitu sahaja apabila urusan tuntutan sukar dilakukan.
Kebanyakan pewaris mengakui pertelingkahan itu adalah masalah utama dalam pembahagian harta pusaka kerana ada antara ahli keluarga yang pentingkan diri atau ‘gila harta’.
Di Alor Setar, Kedah, seorang pesawah kecewa apabila masih tidak dapat menguruskan pembahagian pusaka milik arwah bapanya kerana perebutan harta antara ahli keluarga.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Harun, 52, berkata, bapanya telah meninggal dunia lebih lima tahun lalu, tetapi adik-beradiknya masih tidak mencapai sebarang persetujuan mengenai pembahagian harta pusaka tersebut.
“Arwah ayah meninggalkan sebuah rumah pusaka, tanah dan bendang. Pembahagian semua harta yang dianggarkan bernilai lebih setengah juta ringgit itu masih tidak dapat diuruskan sehingga hari ini.
“Saya dan lima beradik lain sudah banyak kali berbincang, tetapi masih tidak sepakat sehingga ada yang bermasam muka,” katanya semalam.
Menurutnya, masalah berlaku apabila abang sulung bertegas mahukan rumah pusaka dan salah satu tanah yang berada di lokasi paling strategik.
“Dia tinggal di rumah pusaka itu dan mengusahakan sebahagian bendang. Saya dan adik-beradik lain turut mengusahakan bendang arwah ayah yang lain.
“Apabila saya tanya (pembahagian harta pusaka), abang minta saya serahkan semua urusan itu kepadanya, tetapi malangnya tiada apa permohonan pembahagian pusaka dibuat sehingga hari ini,” ujarnya.
Menurutnya, dia pernah mendapatkan nasihat peguam syarie dan memintanya untuk terus berbincang dan mencapai kata sepakat dengan adik-beradik lain.
“Saya jadi serba salah kerana ada adik-beradik langsung tidak mahu ambil tahu dengan urusan pembahagian harta pusaka ini dan selesa menggunakan harta peninggalan arwah ayah itu tanpa pembahagian secara adil,” jelasnya.
Tambahnya, selain masalah itu, ada juga beberapa bidang tanah bendang yang mempunyai banyak penama dalam satu lot yang mana masih diwarisi adik-beradik arwah ayah.
“Jadi, tanah bendang itu lebih sukar untuk diuruskan,” katanya.
Di Shah Alam, Selangor, seorang kontraktor yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad berkata, dia telah memfailkan permohonan rumah pusaka milik arwah ayahnya di sebuah pejabat daerah, namun tidak mendapat kerjasama sepatutnya.
“Arwah ayah mempunyai dua isteri dan ibu adalah isteri kedua dengan saya mempunyai enam beradik.
“Adik-beradik tiri masih marah kepada ibu kami yang dianggap sebagai perampas arwah ayah sebelum ini. Ekoran itu, permohonan pusaka berkenaan telah tertangguh sejak lima tahun.
“Macam mana hendak membahagi harta secara faraid jika bicara kuasa pun tidak tahu bila dan bagaimana boleh diselesaikan,” katanya.
Di Muar, Johor, seorang wanita yang dikenali sebagai Liyana berkata, meskipun telah kematian bapa sejak 2020, namun pembahagian harta pusaka belum dapat diselesaikan.
Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, pembahagian harta pusaka menjadi rumit kerana memerlukan penglibatan ahli keluarga bapanya ekoran mereka tiada adik-beradik lelaki.
“Dalam keluarga bapa saya, ada seorang ibu saudara yang sukar memberi kerjasama dan ini menyebabkan kami tak mampu menguruskan pembahagian pusaka dengan lancar.
“Kami ada merujuk pejabat pusaka dan pihak berkaitan, namun katanya, setiap waris yang berhak tidak boleh dipinggirkan kerana bimbang ada tuntutan di kemudian hari,” ujarnya.
Justeru katanya, dia terpaksa mendapatkan khidmat peguam syariah bagi melancarkan proses pembahagian harta pusaka dengan segera.














