PETALING JAYA – Perbuatan memakan haiwan seperti anjing dan kucing tidak boleh dikaitkan dengan jenayah sekiranya dimatikan secara beretika seperti disembelih.
Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia), Arei Dwi Andika berkata, tiada sebarang undang-undang di negara ini yang melarang individu termasuk warga asing makan anjing dan kucing.
Katanya, Animal Malaysia juga ada menerima laporan berkaitan jenayah pembunuhan haiwan oleh warga asing yang didakwa memakan binatang tersebut.
“Kita ada dapat beberapa aduan berkaitan isu ini, namun ia tidak disertakan bukti kukuh seperti gambar atau rakaman sekali gus menyukarkan tindakan.
“Apa yang boleh kita ambil tindakan adalah sekiranya ada bukti bahawa warga asing itu mematikan haiwan itu secara zalim contohnya menghempuk haiwan atau melakukan penderaan sebelum mati seperti dipukul dan dibunuh dengan kejam,” katanya.
Menurut Arei, sepanjang tahun lalu, pihaknya menerima lebih 350 aduan berkaitan kebajikan dan jenayah melibatkan haiwan terutamanya kucing.
Tambahnya, antara perbuatan kejam itu ialah pengabaian, penderaan dan kezaliman sehingga membunuh haiwan tersebut.
“Tahun ini sudah lebih 35 aduan dengan purata 10 hingga 15 laporan diterima sebulan berkaitan penderaan dan pengabaian seperti tidak memberi makan, mengurung dalam sangkar yang sempit dan membiarkan haiwan tidak terurus,” katanya.
Ujar Arei, ada juga aduan jenayah secara langsung diterima melibatkan pembunuhan, penderaan fizikal ke atas haiwan seperti memukul dan menyakiti tubuh haiwan,” katanya.
Arie berkata, bagi jenayah langsung yang mempunyai bukti, kes akan terus diserahkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat dan didakwa mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun dan denda maksimum RM100,000 jika sabit kesalahan. -KOSMO! ONLINE














