KUALA LUMPUR – Lima wanita antara 17 individu ditahan kerana memiliki pelbagai jenis dadah dalam serbuan di sebuah premis hiburan sekitar Warisan Cityview, Cheras, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya menjalankan serbuan terbabit pada pukul 12.30 malam.
“Menerusi serbuan itu, tangkapan dilakukan ke atas 13 lelaki serta lima wanita berusia lingkungan 26 hingga 56 tahun termasuk seorang penjaga premis pusat hiburan kerana beroperasi tanpa lesen yang sah.
“Selain itu, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati 15 suspek positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, polis telah merampas beberapa peralatan karaoke, dadah jenis kanabis seberat 4.89 gram(g), ekstasi (5.15g) serta ketamin (3.21g).
Jelasnya, polis turut mengeluarkan kompaun ke atas kesemua suspek kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (Fasa Peralihan ke Endemik) 2022.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992 dan Seksyen 6/ 12(3), 15(1)(a) serta 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE
















