fbpx
JELAS S. Dayalan, faktor gaji lumayan menjadikan rakyat negara ini mengambil keputusan untuk mencari rezeki di Singapura.

Hati-hati sindiket tipu kerja di Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS pintu sempadan Singapura dan Malaysia dibuka baru-baru ini telah memberikan sinar baharu kepada rakyat negara ini yang bekerja di republik itu yang selama terkesan termasuk dibuang kerja dan tidak dapat pulang menjengok keluarga akibat pandemik.

Kolum Wawancara minggu ini membawakan Presiden Persatuan Pekerja Malaysia-Singapura (Pemas), S. Dayalan yang membicarakan tentang harapan dan peluang untuk rakyat Malaysia mencari untung nasib di negara orang selepas sektor ekonomi di Singapura kembali rancak.

Beliau turut menceritakan keperitan dan kesengsaraan pekerja Malaysia di Singapura sepanjang dua tahun lalu ketika kedua-dua negara bergelut dengan wabak Covid-19, menyebabkan banyak pihak terjejas teruk dari segi ekonomi keluarga.
————————————————————————————————————————————————————————————————————–
PENDERITAAN serta kerinduan terhadap keluarga bagi pekerja Malaysia yang terkandas di Singapura selepas lebih dua tahun akhirnya ternoktah pada 1 April lalu selepas sempadan negara dibuka semula menerusi Tambak Johor dan laluan Linkedua.

Selain itu, pembukaan pintu sempadan kedua-dua negara itu juga dilihat sebagai sinar baharu untuk mencari rezeki buat rakyat Malaysia yang sebelum ini kehilangan kerja ekoran pandemik.
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan isu-isu dan keluh-kesah membabitkan pekerja Malaysia di Singapura, wartawan Kosmo! Ahad, ZURAINI MOHD. KHALID menembu bual Presiden Persatuan Pekerja Malaysia-Singapura (Pemas), S. Dayalan baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: KSelepas dua tahun hidup sengsara akibat diberhentikan kerja ekoran pandemik Covid-19, rakyat Malaysia kini lega apabila kerajaan Malaysia dan Singapura membuka laluan sempadan darat menerusi Tambak Johor serta laluan Linkedua. Diharap tiada lagi kisah sedih pekerja diberhentikan menanggung keperitan termasuk menjual kereta demi kelangsungan hidup. Apa pandangan saudara dalam hal ini?

S. DAYALAN: Pertama sekali, saya berharap agar orang ramai boleh memahami, langkah penutupan sempadan pada 2020 akibat penularan wabak Covid-19.

Langkah pembukaan semula sempadan pula adalah faktor ekonomi dan bukannya kerana negara pulih daripada pandemik. Sempadan kedua-dua negara dibuka kerana mahu memulihkan semula ekonomi yang terjejas.
Ketika ini, terdapat 300,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura dalam pelbagai bidang. Sebanyak 50 hingga 60 peratus terlibat dalam sektor pembersihan atau lebih dikenali sebagai pekerja bukan profesional, manakala selebihnya pekerja terlatih dan sektor pengurusan seperti sumber manusia.

Dijangkakan jumlah itu meningkat kepada 500,000 orang dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi.

Ketika ini hanya separuh daripada jumlah itu sudah memasuki sempadan Singapura, manakala selebihnya mahu melihat dahulu sama ada kes Covid-19 terus meningkat atau tidak dalam tempoh sebulan dua ini.

Jika anda bertanya kepada saya, dari sudut ekonomi, mereka amat terkesan kerana bukan sahaja menjual kereta, malah ada yang menjual rumah kerana tidak mampu membayar pinjaman.

Malah, ada seorang wanita muda yang saya kenal terpaksa menjual kediamannya kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan pinjaman perumahan sebanyak RM2,100 akibat hilang kerja.

Bagi menjelaskan situasi pekerja yang terperangkap, terdapat dua kategori iaitu satu, mereka terperangkap di Singapura hampir enam bulan tanpa ada sebarang pengurusan keluar masuk.

Bagi tempoh enam bulan pertama itu, mereka membiasakan diri dengan situasi dan kehidupan di Singapura.

Golongan kedua pula adalah mereka yang tidak dapat masuk ke Singapura akibat penutupan sempadan. Merekalah yang terkesan dari segi ekonomi sehingga terpaksa menjual kereta demi kelangsungan hidup selepas kehilangan kerja.

Apabila mereka kehilangan punca pendapatan, Johor Bahru pula tidak mampu menawarkan mereka peluang pekerjaan kerana sudah terbiasa menerima gaji besar.

KESESAKAN yang berlaku di sempadan Singapura adalah perkara biasa buat mereka yang berulang-alik bekerja di negara jiran itu.

Apakah faktor penarik menyebabkan rakyat negara ini begitu ghairah mencari pekerjaan di Singapura. Berapakah perbezaan gaji ditawarkan majikan di negara itu sehingga mereka sanggup meredah kesesakan di pintu masuk sempadan untuk ke tempat kerja?

Perkara pertama menyebabkan rakyat Malaysia berminat untuk bekerja di negara seberang adalah kerana tidak berjaya memperoleh pekerjaan di Johor Bahru.

Selain itu, faktor gaji lumayan menjadikan mereka beralih ke negara seberang untuk bekerja. Sebagai contoh, pekerja bukan profesional misalnya, boleh menjana pendapatan lebih RM4,000 di Singapura.

Itu hanya membabitkan mereka yang menjana pendapatan minimum.

Bagi pekerja profesional pula, sudah tentu mereka menjana pendapatan lebih tinggi lagi.

Gaji yang diperoleh di negara ini pula tidak mencukupi untuk hidup di Johor Bahru kerana ia merupakan sebuah negeri yang pada saya, khusus untuk warga Singapura dan juga penduduk yang bekerja di Singapura.

Hal ini kerana, harga barang yang mahal dan juga kos sewa tinggi.

Sejak sekian lama, majikan di negara ini terutamanya di Johor tidak dapat menyaingi Singapura dalam memberi upah lebih menarik menyebabkan mereka beralih ke republik itu untuk mencari rezeki. Pada pandangan saudara, sampai bila situasi seperti ini akan berlarutan?

Perkara ini akan berlarutan lebih lama lagi, malah selepas 20 tahun lagi pun mungkin belum tentu berakhir.

Pada pendapat saya, situasi boleh berubah sekiranya Johor Bahru memberikan gaji tinggi kepada penduduknya, menjadikan mereka tertarik untuk bekerja dalam negara atau mata wang negara naik.

Kos hidup di Johor Bahru menyamai kos di Kuala Lumpur. Namun apa yang menjadi masalah, kekurangan peluang perniagaan di Johor Bahru berbanding Kuala Lumpur.

Dikhabarkan kira-kira 500,000 rakyat negara ini akan mencari pekerjaan di Singapura berikutan sektor ekonomi di republik itu kian rancak. Apakah sektor atau pekerjaan yang boleh diceburi oleh pekerja dari Malaysia nanti?

Sektor yang boleh diceburi adalah penerbangan susulan peningkatan peluang pekerjaan di lapangan terbang Singapura selepas ditutup begitu lama.

Selain itu, peluang pekerjaan bukan profesional juga masih lagi mendapat permintaan tinggi.

Berikutan permintaan tinggi tenaga kerja di Singapura itu, tidakkah Pemas bimbang sekiranya ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan mewujudkan sindiket pekerjaan palsu untuk menipu mereka?

Setiap perancangan yang dilakukan oleh kedua-dua negara pasti akan mewujudkan sindiket.

Ia satu perkara yang sukar dikawal. Sebelum ini, sindiket sebegini sudah pun wujud. Selepas ini, ia pasti meningkat kerana banyak pihak mahu mengambil kesempatan untuk menipu rakyat Malaysia.

Saya mohon kepada semua agar sentiasa berwaspada dan jangan sesekali memindahkan wang kepada pihak yang mencurigakan.
Sejujurnya, dalam pengetahuan Pemas, ramai pekerja di negara ini yang bekerja di Singapura telah mengambil pinjaman ah long bagi meneruskan hidup.

Saya memohon agar mereka tidak terburu-buru dan membuat keputusan ‘bodoh’ dengan mengambil pinjaman sebegini. Sekiranya mereka menghadapi masalah, boleh berjumpa wakil Pemas dan kami akan cuba membantu.

Adakah rakyat Malaysia yang ingin bekerja di Singapura perlu menggunakan khidmat pihak tertentu yang berurusan dengan majikan di sana?
Sekiranya masuk ke Singapura, bermaksud anda menggunakan visa pelancong. Jika didapati mencari kerja menggunakan visa pelancong, anda akan ditahan.

Oleh itu, perkara tersebut merupakan satu pelanggaran undang-undang. Mereka yang berhasrat untuk mencari pekerjaan di Singapura perlu melalui ejen dan mendaftar.

Namun, semua ejen akan meminta bayaran. Sebaiknya, periksa dahulu latar belakang ejen sebelum membuat sebarang pemindahan wang.
Anda boleh datang ke Pemas kerana kami mempunyai senarai ejen yang sah dan berdaftar untuk rujukan.


S. DAYALAN menasihatkan mereka yang ingin mencari kerja di Singapura agar tidak memindahkan wang kepada pihak yang mencurigakan bagi mengelakkan ditipu sindiket mencari pekerjaan palsu.

Sebelum pandemik, dikatakan ada dalam kalangan pekerja yang berulang-alik ke Singapura merungut tentang kesesakan di pintu masuk sempadan Singapura setiap hari. Mungin selepas ini, rungutan itu tiada asalkan mereka dapat kembali bekerja. Apa pandangan saudara dalam hal ini?

Sebelum ini, pekerja yang terpaksa melalui kesesakan lalu lintas untuk berulang alik daripada Singapura ke Malaysia sering mengeluh.

Namun kini, saya pasti kesesakan itu dirindui dan kali ini, mereka melaluinya dengan penuh sabar.

Malah, mungkin mereka sudah lama menunggu bilakah kesesakan akan bermula kembali kerana tidak sabar untuk meredahnya.

Pandemik menyebabkan terdapat kes bunuh diri dalam kalangan pekerja Malaysia di Singapura sebelum ini ekoran stres di tempat kerja dan rindukan keluarga setelah terkandas di sana ekoran pintu sempadan negara ditutup. Mungkin selepas ini, kes-kes sebegini tidak lagi kedengaran. Minta pandangan dalam hal ini?

Bagi saya, kehilangan punca pendapatan semestinya memberikan tekanan kepada sesiapa sahaja dan kes bunuh diri yang didengar berlaku berikutan tekanan kerja yang disertakan dengan masalah peribadi.

Kira-kira sembilan kes bunuh diri dilaporkan kepada Pemas sepanjang tempoh pandemik. Selain kes bunuh diri, masalah perceraian juga cukup banyak berlaku disebabkan oleh faktor kesunyian.

Si suami yang terpisah dengan isteri mulai mencari wanita lain, manakala si isteri yang sudah lama tidak bertemu suami pula mula mencari perhatian dengan lelaki lain. Oleh itu, saya berharap agar perkara sebegini tidak lagi berlaku.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN