fbpx
ANTARA aksi kanak-kanak yang menyertai Liga Suparimau anjuran FAM baru-baru ini.

Liga Suparimau, pembangunan bola sepak akar umbi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS hampir empat tahun menceburi sukan bola sepak secara aktif, akhirnya penat lelah dirasai oleh Darwisy Iman Riquelme, 14, terubat jua.

Remaja berasal dari ibu kota itu telah berjaya membantu Akademi Bolasepak Kuala Lumpur Rovers (KLRA) menjuarai Liga Suparimau Zon Kuala Lumpur bagi kategori bawah 14 tahun.

Liga Suparimau diwujudkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi pembangunan bola sepak akar umbi untuk kanak-kanak yang berumur lima hingga 16 tahun.

Sepanjang dua bulan liga berlangsung, Darwisy Iman telah membantu pasukannya memenangi lima perlawanan dan mencatatkan dua kali seri sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah.

Lebih manis, Darwisy Iman yang bermain di posisi penyerang telah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak pada kejohanan edisi pertama itu dengan jaringan lima gol buat KLRA.

“Saya sangat teruja dapat menjadi sebahagian daripada pasukan KLRA bawah 14 tahun sehingga kami berjaya memenangi Liga Suparimau yang berakhir baru-baru ini.

“Kejayaan ini sedikit sebanyak dapat mengubat penat lelah kami selepas berlatih hampir setiap minggu bagi mempersiapkan diri menghadapi perlawanan dalam liga ini.

“Ia juga menyuntik semangat saya untuk bekerja lebih keras bagi mencapai lebih banyak kejayaan pada masa depan,” katanya ketika ditemu bual K2 di padang KLRA, Kuala Lumpur.

DETIK manis apabila KLRA berjaya menjuarai Liga Suparimau Zon Kuala Lumpur bagi kategori bawah 14 tahun baru-baru ini.

Anak sulung daripada tiga beradik itu menambah, KLRA berjaya mengembangkan lagi bakatnya dalam bola sepak menerusi penyertaan dalam beberapa kejohanan kompetitif termasuk Liga Suparimau.

“Pada mulanya, saya sertai akademi ini sejak tahun lalu bagi membolehkan saya bersosial bersama rakan sebaya. Ini kerana, saya merupakan pelajar home school sejak darjah satu lagi.

“Di sini juga diterapkan elemen setia kawan, disiplin, teknik dan taktikal sehingga kami berjaya memenangi Liga Suparimau,” ujarnya yang mengidolakan pemain Argentina, Lionel Messi.

Tujuan utama liga Suparimau adalah menyediakan kejohanan berdaya saing secara berkala dalam format serupa dan dikendalikan secara profesional kepada semua kanak-kanak.

Selain zon Kuala Lumpur (KL), Liga Suparimau yang bermula pada 15 Januari lalu juga telah berlangsung di lima zon lain iaitu Johor, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Bagi zon KL, antara pasukan lain yang menyertainya ialah KL Youth Soccer, KDH Global, Lestari Beast, Kelab Bola Sepak Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Ukay Positive FC dan Bukit Bandaraya FC.

Buat masa ini, liga ini hanya mencari pemenang peringkat zon dan mungkin pencarian juara antara zon-zon akan dilakukan pada masa akan datang.

LIGA Suparimau menjadi medan untuk mencungkil bakat-bakat muda dalam sukan bola sepak yang seterusnya diharapkan menjadi bintang masa depan yang membawa kegemilangan kepada negara. – FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

Mengenai Liga Suparimau, ramai melihat ia sebagai usaha mencungkil dari awal bakat-bakat bola sepak cilik dan muda di negara ini yang dicerap potensi mereka melalui platform sistematik dan adil kepada semua.

Ketua Unit Pembangunan Akar Umbi FAM, Cameron Leon Ng berkata, pihaknya berasa sangat gembira Liga Suparimau edisi sulung berlangsung dengan jayanya.

Jelasnya, kejohanan berkenaan sebenarnya telah dirancang sebelum ini tetapi terpaksa ditunda hampir setahun ekoran daripada peningkatan kes pandemik Covid-19 di dalam negara.

“Tiada yang lebih menggembirakan daripada melihat kanak-kanak daripada pelbagai peringkat umur kembali bermain bola sepak. Ia seiring dengan matlamat Liga Suparimau itu sendiri.

“Liga ini bertujuan menggalakkan penglibatan meluas dalam bola sepak sambil menyediakan pemain paling berbakat untuk peringkat tertinggi,” katanya.

Liga yang dirancang untuk dijalankan setiap tahun itu akan diperluaskan ke seluruh negara dalam tempoh beberapa tahun mendatang.

Menurutnya, Liga Suparimau dikelaskan kepada enam kategori peringkat umur iaitu bawah enam tahun, 10 tahun, 12 tahun, 14 tahun dan 16 tahun. Turut dilangsungkan adalah kejohanan wanita bagi peringkat umur bawah 10, 12, 14 dan 16.

CAMERON

Terang Cameron, Liga Suparimau terbuka kepada akademi-akademi bola sepak akar umbi yang bernaung di bawah Piagam FAM Suparimau yang telah dilancarkan pada Mei 2019.

Ujarnya lagi, menerusi piagam tersebut, FAM dapat mengesah, menyokong serta memantau setiap akademi bola sepak di negara ini.

“Sejak kebelakang ini, terlalu banyak akademi dan kelab bola sepak dibuka. Menerusi Piagam FAM Suparimau ini, kami dapat memantau setiap akademi dengan lebih dekat.

“Usaha ini juga bagi memastikan setiap akademi bergerak seiring pelan hala tuju F:30. Menerusi pelan ini, FAM ingin mewujudkan pasukan yang bermain dengan DNA build up pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Cameron berkata, pihaknya tidak merekodkan keputusan atau menawarkan hadiah kepada pemenang Liga Suparimau bagi kategori bawah 10 tahun. Jelasnya, dalam lingkungan usia berkenaan aspek yang

perlu diberi perhatian adalah pendedahan kepada pemain dan bukannya kemenangan semata-mata.

“Sebenarnya, banyak pasukan pada edisi ini terkejut apabila tiada rekod dan hadiah bagi kejohanan bawah 10 tahun. Langkah ini adalah seiring dengan saranan Konfederasi Bola Sepak Asia.

“Kami ingin memberi peluang kepada lebih ramai pemain beraksi di dalam padang. Jadi, jurulatih tidak lagi menurunkan pemain tertentu sahaja bagi mencatat kemenangan,” ulasnya.

Sementara itu, Pengurus KLRA, Aznor Dzulkarnain Aziz berkata, pihaknya cukup gembira selepas berjaya dinobatkan sebagai pemenang edisi pertama Liga Suparimau bagi zon KL.

“Kejayaan ini cukup besar kepada kami sebagai sebuah akademi bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA). Kami ingin berterima kasih kepada semua pihak yang memainkan peranan dalam kejayaan ini.

“Penghargaan ditujukan kepada pihak KLFA yang telah berusaha menyediakan latihan, fasiliti dan program akar umbi,” katanya.

Aznor Dzulkarnain berasa cukup puas selepas melihat pemain yang diasuh sejak sekian lama berjaya menonjolkan potensi sebenar mereka di dalam Liga Suparimau.

AZNOR DZULKARNAIN

Ujarnya, pemilihan dibuat daripada kalangan pemain akademi yang dilihat berpotensi sebelum menjalani latihan khusus pada setiap minggu bagi persiapan menghadapi liga.

“Skuad bawah bawah 14 tahun yang menang ini kebanyakannya terdiri daripada pemain first batch kami sejak mula beroperasi pada tahun 2018. Kami telah melihat perkembangan mereka ini sejak dari awal. Mereka cukup kuat kerana pernah melalui pelbagai pengalaman suka dan duka seperti menang, kalah, tidak dipilih dalam skuad serta kecederaan.

“Memang satu kepuasaan apabila melihat pemain yang dilatih berjaya meraih kejayaan besar seperti Liga Suparimau,” katanya.

Untuk makluman, KLRA mempunyai seramai 180 pemain berdaftar berusia antara enam hingga 14 tahun. Para pemain menjalani latihan pada setiap hujung minggu dengan yuran RM160 sebulan.

Selain menjadi juara Liga Suparimau, dua pemain KLRA juga telah dipilih ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD), tujuh pemain ke Sekolah Sukan Negeri dan enam lagi akan menjalani latihan bersama Pusat Latihan Daerah di bawah Majlis Sukan Negara.

Aznor Dzulkarnain mengucapkan setinggi tahniah kepada penganjur Liga Suparimau kerana berjaya menganjurkan sebuah liga kompetitif.

“Liga ini berjalan cukup teratur dan lancar di bawah seliaan FAM. Kami sebagai pasukan tidak perlu risau lagi mengenai masalah pemilihan padang, pengadil atau format kejohanan.

“Kejohanan ini berlangsung dengan amat kompetitif memandangkan pasukan bertanding berkeupayaan hampir setara. Sebelum ini, susah untuk dapat liga seperti ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN