fbpx

Gencatan senjata sambut Ramadan di Yemen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYOKONG Houthi melaungkan slogan dan mengangkat senjata semasa perhimpunan menentang perang pimpinan Arab dan sekatan yang dikenakan ke atas Yaman di Sanaa pada 8 Ogos 2021.

SANA’A – Pihak yang bertelagah di Yemen dilaporkan bersetuju mengadakan gencatan senjata selama dua bulan yang menyaksikan penamatan semua operasi serangan udara, darat dan maritim, lapor agensi berita United Press International (UPI) kelmarin.

Duta Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Yemen, Hans Grundberg berkata dalam satu kenyataan akhbar bahawa gencatan senjata itu berkuat kuasa semalam.

“Saya berterima kasih kepada pihak-pihak terbabit kerana berurusan dengan saya secara baik dan bersetuju berkompromi demi mencapai persetujuan ini.

“Matlamat gencatan senjata ini adalah untuk membolehkan rakyat Yemen ‘berehat’ daripada keganasan, dilepaskan daripada penderitaan kemanusiaan dan yang paling penting berharap agar konflik ini berakhir,’’ kata Grundberg dalam kenyataannya.

Kenyataan akhbar PBB itu menyatakan, pihak-pihak terbabit juga telah bersetuju untuk membenarkan kapal minyak memasuki pelabuhan di bandar Hudaydah dan untuk penerbangan komersial beroperasi masuk dan keluar dari lapangan terbang di Sanaa.

Peperangan di Yemen bermula sebagai perang saudara pada 2014. Perang tercetus selepas pemberontak Houthi merampas wilayah Saada dan kemudian menawan ibu negara Yemen, Sanaa.

Arab Saudi bagaimanapun tidak mahu Yemen dikuasai oleh militia Syiah Houthi dan melancarkan serangan udara terhadap pemberontak itu dengan kerjasama negara-negara Arab lain.

Amerika Syarikat, Britain dan Perancis bertindak menyokong pakatan tentera yang diketuai oleh Arab Saudi.

Grunberg berkata dalam kenyataan akhbar PBB bahawa beliau akan mempergiatkan urusan dengan pihak-pihak terbabit dalam perang saudara di Yemen dengan tujuan untuk mencapai gencatan senjata berkekalan, menangani keperluan ekonomi dan kemanusiaan yang mendesak serta menyambung semula proses politik di negara bergolak itu. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI