PETALING JAYA – Biarpun kadar pengangguran negara mencatatkan 687,600 orang pada Disember tahun lalu, namun realitinya masih ramai majikan pening kepala memikirkan cara untuk mendapatkan tenaga pekerja muda.
Gaji yang ditawarkan antara RM1,200 hingga RM4,000 sebulan selain caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), malah pemberian bonus, tetapi semua itu masih gagal memikat hati mereka.
Majikan dalam industri makanan, peruncitan, perkhidmatan dan perladangan yang paling ramai mengadu sukar untuk mencari pekerja muda.
Di George Town, Pulau Pinang, pemilik Cafe Tea Kadai, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, sejak tahun lalu, dia buntu untuk mencari pekerja berusia antara 18 hingga 20-an.
Akuinya, pelbagai pendekatan dilakukan termasuk menawarkan kadar gaji sehingga RM1,800 sebulan selain penambahan bonus RM500 dalam tempoh tiga bulan bekerja.
“Saya stres setiap kali memikirkan cara untuk mencari pekerja baharu. Ada yang datang hanya sehari dan berhenti pada keesokannya.
“Mereka memberi pelbagai alasan seperti letih bekerja selama lapan jam dan mempunyai kerja di luar. Ketika ini, hanya dua daripada lima pekerja saya terdiri daripada orang muda,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Mohamed Rizwan memberitahu, lebih tertekan apabila ada dalam kalangan orang muda sudah pandai demand.
Katanya, mereka hanya mahu melakukan satu pekerjaan seperti pelayan atau juruwang, malah enggan memakai uniform kedai kerana malu.

“Rata-rata bekas pekerja saya sudah beralih ke syarikat francais makanan dan minuman jenama popular selain menjadi penghantar makanan,” ujarnya.
Menurutnya, dia kecewa apabila tidak dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan disebabkan masalah kekurangan tenaga kerja.
“Bayangkan, daripada 10 pengambilan pekerja baharu, hanya dua orang yang kekal. Kadangkala, saya sendiri terpaksa mop lantai,” katanya.
Seorang pemilik kedai runcit yang hanya mahu dikenali Din, 45, memberitahu, selepas ini, dia akan berfikir panjang untuk menerima pekerja muda kerana tidak sanggup berdepan dengan sikap sambil lewa mereka selain sukar menerima nasihat serta arahan.
“Sebelum ini, orang mudalah yang sangat komited dalam apa jua kerja yang disuruh berbanding mereka yang berusia 40-an, namun sejak akhir-akhir ini, pekerja muda banyak kerenah dan kerap minta cuti dengan alasan tidak masuk akal.
“Mereka juga sudah pandai mengeluh setiap kali diminta mengangkat barang. Mereka kata itu bukan bidang kerjaya mereka yang sebenar,” katanya.
Di Johor Bahru, Johor, pemilik kedai runcit dan restoran G’ Sinar, Azizan Che Harun mengakui turut berdepan kesukaran mendapatkan khidmat pekerja muda.
“Saya sudah hampir lima tahun melakukan bisnes, memang pekerja sering bertukar ganti lebih-lebih orang muda, mereka tak tahan kerja, tiga atau empat bulan kerja mereka cabut.
“Biarpun gaji minimum RM1,200, caruman Perkeso dan KWSP disediakan, tetapi mereka tak akan kerja lama,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Masrina Shamsudin berkata, orang muda lebih rela bekerja sebagai penghantar barang atau makanan.
Menurutnya, penghantar barang atau makanan memperoleh pendapatan bulanan mencecah antara RM2,500 hingga RM3,500.
“Kos sara hidup yang tinggi di Johor mendorong orang muda memilih kerja yang menyediakan gaji yang besar, malah 1 April ini, sempadan sudah dibuka, jadi mereka mungkin akan cari kerja di Singapura,” ujarnya.














