Tanya Mufti
Sebelum ini, saya ada membuka akaun simpanan untuk pelajaran anak-anak. Selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka tidak menyambung pelajaran ke mana-mana institusi pengajian? Bolehkah saya menggunakan wang berkenaan untuk tujuan lain?
Jawapan:
Berdasarkan soalan, secara umumnya, bapa atau ibu boleh menggunakan wang yang telah diberikan kepada anak-anak. Alasannya:
Pertama, wang itu adalah peruntukan dikhususkan untuk pelajaran mereka, yang mana ia berkait dengan hal berkenaan.
Maka, apabila mereka tidak menggunakannya lagi, ibu bapa boleh mengambilnya untuk kemaslahatan lain. Penempatan di akaun mereka dalam keadaan itu hanya soal pengurusan ibu bapa sahaja.
Kedua, jika pemberian itu memang untuk mereka tanpa kaitan atau syarat, maka penempatan dalam akaun itu bererti pemilikan mereka yang sah.
Pun begitu Nabi s.a.w bersabda: “Tidak halal seseorang yang memberikan satu pemberian kemudian mengambilnya kembali, kecuali bapa pada apa yang dia berikan kepada anaknya.” (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dll. Sahih).
Hadis ini menunjukkan, seseorang tidak boleh mengambil balik apa yang telah diberikan kepada orang lain, kecuali bapa.
Demikian juga ibu, hukumnya dalam perkara ini sama seperti bapa di sisi majoriti para ulama.
Kata al-Son’ani (meninggal 1182): “Pada ungkapan ‘kecuali bapa’ dalil bahawa boleh bapa menarik balik apa yang diberikan kepada anaknya sama ada anaknya telah besar atau masih kecil…hukum bagi ibu sama dengan bapa pada kebanyakan ulama,” (al-Son’ani, Subul al-Salam, 3/174. Beirut: Muassasah Fuad).
Dengan itu, ibu bapa boleh mengambil kembali pemberian kepada anak-anaknya terutamanya jika ada keperluan.
Pada masa sama, perlu kita ingat membekalkan anak-anak dengan simpanan masa depan untuk kemaslahatan mereka adalah suatu perbuatan baik yang disukai di sisi agama. Inilah nasihat Nabi s.a.w yang wajar kita lakukan. Sabda Nabi:
“Engkau meninggalkan waris engkau dalam keadaan kaya, itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka dalam keadaan miskin meminta-minta kepada manusia.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).














