KUALA LUMPUR – Seorang wanita tidak menyangka perkahwinan yang dibina hampir setahun berakhir selepas dia mengetahui suaminya merupakan seorang gay.
Alina (nama samaran), 37, mendedahkan, lebih menyedihkan apabila dia tidak pernah disentuh oleh suami apalagi dibelai manja seperti wanita lain sepanjang perkahwinan.
Cerita Alina, dia bernikah dengan suaminya, Remy (nama samaran) selepas diatur oleh keluarga.
“Remy merupakan rakan sekerja bapa dan dia selalu balik ke kampung kami di Melaka. Kami anggapnya umpama keluarga sendiri kerana dia baik, penyayang, tampan, berbudi bahasa dan berbadan sasa.
“Tetapi saya pelik kerana dia masih belum berkahwin dan tiada teman wanita walaupun sudah berusia 38 tahun,” katanya.
Menurut Alina, dia pernah ada teman lelaki, namun hubungan itu ditentang oleh keluarga dan diminta berkahwin dengan Remy walaupun jarak usia 15 tahun pada 2009.
Tambahnya, pada malam pertama, dia pelik apabila Remy langsung tidak menyentuhnya, namun dia bersangka baik kerana mungkin suaminya segan atau belum bersedia.
“Selepas berkahwin, kami tinggal berjauhan kerana saya bekerja di Melaka, manakala suami di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, Remy langsung tidak bernafsu bila kami berjumpa seminggu atau dua minggu sekali,” katanya.
Ujar Alina, rahsia terbongkar apabila dia menemui gambar kemaluan, bermesra dan mesej lucah dengan lelaki di dalam telefon bimbit suaminya.
“Kami bercerai apabila saya tangkap suami dengan lelaki lain di dalam bilik hotel. Luluh hati saya ketika itu.
“Sehingga sekarang keluarga saya dan mentua tidak tahu anaknya gay. Saya masih trauma dan berharap Remy yang kini berusia 50 tahun berubah,” katanya. -KOSMO! ONLINE














