fbpx
ROBERT PATTINSON

‘Batman’ kena Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERMULA dengan watak puntianak dengan muka putih melepak dan bibir kemerah-merahan, kini perjalanan karier Robert Pattinson semakin gah di persada dunia.

Sejak awal tahun ini, namanya kembali hangat di bibir peminat menerusi filem Tenet dan akan datang, The Batman.

Siapa sangka si puntianak yang penghisap darah kini beralih menjadi sang kelawar yang bakal menyelamatkan dunia manusia.

Memegang watak adiwira dunia itu bukan sahaja sudah melakar sejarah, malah melonjakkan semula namanya dan mengubah persepsi warga dunia mengenainya.

ROBERT PATTINSON mengakui adakalanya dia sukar untuk memahami dengan jelas motif sesebuah adegan lakonannya menerusi filem Tenet arahan Christopher Nolan.

Sebelum ini, dia sering dilabel sebagai hero ‘lembik’ kerana sering diberi watak yang tidak menonjolkan kejantanannya.

The Batman

Keinginan untuk menjayakan watak adi wira Batman bukanlah jalan yang mudah kerana pelakon-pelakon yang menjayakan watak tersebut sudah meletakkan satu aras tinggi dalam setiap naskhah sebelum ini.

Antara pelakon terdahulu yang pernah memegang watak Bruce Wayne termasuklah Ben Affleck, Christian Bale dan George Clooney. Semuanya nama besar Hollywood.

Untuk aktor yang diperkenalkan sebagai Cedric Diggory dalam fantasi saga Harry Potter itu, tiada gentar bersarang di hatinya apabila ditawarkan watak besar seperti Batman.

Matlamatnya hanya satu, dia ingin menjadikan The Batman sebagai landasan untuk berjalan ke satu dimensi baharu.

“Saya sangat ingin melakukannya. Dalam setiap tawaran yang diterima, saya akan cuba untuk jayakannya dengan cara yang berbeza berbanding watak yang pernah dipegang sebelum ini. Dalam kata mudah, ingin memberi kejutan kepada diri sendiri,” tuturnya.

Aktor berusia 34 tahun itu juga pernah memasang angan-angan untuk terlibat dalam mana-mana filem besar pada tahun 2020.

“Entah bagaimana keajaiban berlaku, saya menerima dua tawaran untuk tahun ini iaitu Tenet dan tidak lama kemudian The Batman.

“Tidak pernah terfikir untuk bekerja bawah Christopher Nolan dan Matt Reeves, mereka memang pengarah yang hebat,” katanya.

Sebagai persediaan menjadi adi wira dunia, Pattinson kini aktif melakukan senaman intensif bagi menguatkan lagi staminanya selaku Batman.

AKIBAT penangguhan penggambaran, peminat harus bersabar untuk menyaksikan aksi Batman di tangan Robert Pattinson.

“Ya, saya bersenam setiap hari. Jika saya bekerja pada waktu pagi, saya akan melakukannya (senaman) selepas waktu bekerja.

“Sebenarnya aktiviti ini sangat menyeronokkan kerana saya tidak pernah memiliki  badan berotot besar sebelum ini, jadi ini merupakan satu perubahan mendadak buat saya,” kata peminat tegar Kate Moss itu teruja.

Tenet

Namanya menjadi bualan ramai apabila muncul di layar perak menerusi sebuah filem arahan pengarah tersohor, Christopher Nolan.

Filem berjudul Tenet itu memaparkan sisi Pattinson yang lebih ‘jantan’  iaitu sebagai Neil yang merupakan seorang tentera dan anggota perisik.

Seperti filem-filem Nolan sebelum ini, Tenet seperti sudah menjanjikan sebuah jalan cerita yang rumit dan tidak terjangkau dek akal seorang penonton biasa.

Malah, itulah pendapat yang sama dilontarkan oleh Pattinson sepanjang menjalani pengambaran filem bergenre aksi tersebut.

Menurutnya, Tenet merupakan sebuah filem yang boleh difahami sepenuhnya selepas menontonnya beberapa kali.

“Ini filem yang sangat rumit, sama seperti semua filem Nolan sebelum ini.

“Maksud saya, mula-mula anda harus menonton filem ini secara keseluruhan. Kemudian penonton akan memahami apakah maksud yang ingin cuba disampaikan,” katanya pelakon yang popular menerusi filem Twilight itu.

Pelakon itu turut mengakui sepanjang tempoh pengambaran, dia tidak memahami beberapa adegan lakonan sendiri.

“Kadangkala saya terfikir, adakah saya memahami semua lakonan saya dalam filem ini atau hanya menyampaikan mengikut dialog sahaja?

“Secara jujurnya, saya masih samar-samar untuk memahami setiap adegan yang dilakonkan.  Jalan ceritanya sangat rumit untuk saya fahami,” ujarnya.

Tambahnya: “Ada satu ketika, terdetik di hati adakah saya menerima tawaran dan watak yang tidak sepatutnya diambil tetapi lama-kelamaan saya mula memahami mesej yang ingin Nolan sampaikan.

“Agak lucu jika memikirkan semula semua perasaan saya ketika berada di set pengambaran Tenet (ketawa).”

Ujar pelakon yang berasal dari London, England itu, Tenet merupakan sebuah filem yang penuh tipu muslihat.

“Pandangan pertama saya tentang Tenet ialah filem ini bakal memutar fikiran dan jiwa setiap penontonnya.

“Saya sangat kagum saat pertama kali membaca skrip dan mengetahui jalan ceritanya. Bagaimanapun, saya terfikir bagaimana mereka akan menterjemahkannya menjadi sebuah filem.

“Apa pun saya lega yang saya tidak perlu memikirkan perkara itu kerana tugas saya hanya perlu muncul dan berlakon sahaja,” katanya tertawa.

Memasuki pawagam sejak bulan lalu, Tenet turut membariskan pelakon terkenal lain seperti John David Washington, Elizabeth Debicki, Aaron Taylor-Johnson, Michael Caine dan Martin Donovan.

Langit cerah Pattinson tiba-tiba berawan kelabu apabila sah dijangkiti wabak Covid-19.

Keterujaannya menjalani pengambaran  The Batman terpaksa ditangguh kerana dia perlu menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu.

PIHAK produksi Warner Bross dalam satu kenyataan mulanya enggan mengesahkan bahawa salah seorang anggota produksi The Batman yang disahkan terkena jangkitan Covid-19 ialah Robert Pattinson.

Covid-19

Dilaporkan, Pattinson dijangkiti selepas hanya beberapa hari  filem berkenaan menyambung penggambaran di studio di luar London.

Terdahulu, Warner Bros dalam satu kenyataan mengesahkan sesi bahawa penggambaran ditangguh sementara kerana seorang anggota produksi filem disahkan positif Covid-19. Kru itu diasingkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Bagaimanapun, syarikat gergasi studio perfileman itu enggan menamakan individu terbabit.

Namun, menurut laporan portal hiburan terkenal, Vanity Fair yang memetik sumber berkata, Pattinson ialah individu yang dijangkiti.

Difahamkan, proses penggambaran The Batman yang dijadualkan tayangannya pada Oktober 2012 itu tertangguh sejak bulan Mac lalu kerana wabak Covid-19.

Rata-rata netizen menyifatkan walaupun Pattinson melakonkan watak adi wira, dia juga tidak terlepas daripada dijangkiti wabak yang telah mengorbankan hampir sejuta nyawa di seluruh dunia tersebut.

POTRET Batman versi 2020 dalam wajah Robert Pattinson.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN