KETIKA insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine disebut-sebut semula susulan krisis membabitkan Rusia-Ukraine, usah kita lupa hari ini merupakan ulang tahun kelapan bagi satu lagi insiden melibatkan pesawat Malaysia Airlines, MH370 yang kehilangannya terus menjadi misteri.
Bertahun-tahun sudah kita mendengar dakwaan penemuan demi penemuan dikaitkan dengan pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014 itu, namun sehingga ke hari ini lokasi pesawat tersebut dan punca kehilangannya masih jadi tanda tanya.
Biarpun sudah memasuki tahun kelapan pesawat MH370 hilang tanpa jejak, Intan Maizura Othaman, 42, masih menaruh harapan ia boleh ditemui semula agar penantiannya selama bertahun-tahun menemui titik noktah.
Isteri salah seorang kru penerbangan MH370, Mohd. Hazrin Mohamed Hasnan itu berkongsi bahawa saban tahun, setiap berita tentang penemuan baharu yang diterimanya melibatkan pesawat itu sudah tidak lagi membuatkan dia terkejut.
“Sejujurnya, saya tidak terkejut apabila mendapat tahu tentang penemuan baharu berkenaan pesawat MH370 itu kerana saya tahu ada pihak-pihak di luar sana yang masih berusaha menjejakinya,” katanya kepada K2.
Namun, sebagai seorang isteri dan ibu, hatinya kadangkala sedih apabila anak-anak bertanyakan perihal keberadaan bapa mereka yang hilang bersama penerbangan itu.
“Bagi anak-anak pula, terutamanya Iman yang merupakan anak sulung saya, biarpun sudah faham dengan apa yang berlaku, saya tahu jauh di sudut hati mereka masih mengharapkan kepulangan si ayah.
“Apa yang boleh saya lakukan adalah memberikan pendekatan dari sudut agama kerana sekiranya saya terlalu kerap memberikan mereka harapan, anak-anak akan sentiasa berharap dan bertanya bila bapa mereka akan pulang,” jelasnya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu juga memberitahu, hatinya sudah reda dan boleh menerima ketentuan Allah SWT berkenaan kehilangan pesawat itu yang turut membawa pergi suaminya.
“Saya bersyukur sekiranya suami saya pulang ke pangkuan kami sekeluarga, namun sekiranya tiada apa-apa berita, saya sudah move on (terima),” ujarnya.
Genap lapan tahun lalu, pesawat Boeing 777-200ER Malaysia Airlines MH370 yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, China tiba-tiba terputus hubungan dengan menara kawalan, sekali gus disahkan hilang lalu menggemparkan dunia.
Pencarian demi pencarian yang dilakukan pelbagai pihak dalam usaha menjejaki pesawat membawa seramai 239 kru dan penumpang itu menemui kegagalan dan kehilangan MH370 disifatkan sebagai salah satu insiden paling misteri dalam sejarah penerbangan dunia.
Dari Laut China Selatan, pencarian kemudian dibuat di Selat Melaka dan diperluas ke Lautan Hindi.
Operasi pencarian terakhir pesawat itu dihentikan pada Mei 2018 setelah syarikat eksplorasi yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity gagal mengesan pesawat itu selepas melakukan pencarian lebih 112,000 kilometer persegi di dasar laut selepas keseluruhan operasi yang berlanjutan selama lebih empat tahun.

Teori yang mengatakan bahawa bangkai pesawat itu berkemungkinan bersemadi di Lautan Hindi sudah terbukti rumit untuk diteruskan serta menelan belanja yang cukup besar.
Pun begitu, bulan lalu, usaha pencarian MH370 kembali diperkatakan apabila seorang jurutera aeronautik dari Britain, Richard Godfrey menerusi satu temu bual eksklusif bersama rancangan 60 Minutes Australia dengan yakin mendakwa, dia mengetahui lokasi sebenar pesawat itu menerusi data yang dikajinya menggunakan teknologi gelombang radio.
Dia juga mendakwa menemui kaedah baharu bagi mengenal pasti lokasi terakhir pesawat itu dengan lebih terperinci sekali gus kehilangan MH370 kembali menjadi tajuk utama akhbar-akhbar.
Godfrey mendakwa, pangkalan data kurang dikenali yang dicipta oleh peminat radio amatur boleh menjejaki laluan penerbangan MH370.
“Pada pandangan saya, tidak ada sebab untuk kita tidak bersiap sedia dalam melakukan carian baharu.
“Kita hanya memerlukan satu carian sahaja lagi sebelum kita menemuinya,” katanya.

Di antara kesemua pakar penerbangan yang menyiasat kehilangan MH370, Godfrey merupakan satu-satunya individu yang mengkaji signal operasi radio sejak pesawat terbabit dilaporkan hilang.
Godfrey mendakwa terdapat gangguan berbeza yang dibuat oleh pesawat kepada gelombang radio apabila ia terbang melaluinya.
Dengan maklumat itu, Godfrey bukan hanya boleh menjejaki ‘jasad’ MH370, dia juga mampu mengetahui laluan penerbangan sebenar yang dibuat oleh pesawat tersebut.
Dia menganalisis data sistem satelit Inmarsat, data prestasi Boeing, data puing yang hanyut di laut dan data Weak Signal Propagation Reporter (WSPR). Apabila kesemua data ini digabungkan, Godfrey berkata, MH370 terhempas di kedudukan 33 darjah selatan dan 95 darjah timur di Lautan Hindi atau 1,933 kilometer dari Perth. Godfrey juga mendakwa pesawat itu berada pada kedalaman 4,000 meter di dasar laut.
“Saya sedang cuba mengesan anomali dalam isyarat yang dipantulkan kembali dari pesawat. Anda boleh mengikuti data itu dan melihat di mana lokasi pesawat mungkin telah mengganggu isyarat radio dan anda boleh mengenal pasti gangguan tersebut,” katanya.
Godfrey sedang menjejaki pangkalan data WSPRnet secara besar-besaran dengan perisian khas untuk mengenal pasti dan menganalisis isyarat hampir dengan masa kehilangan MH370.
Dalam laporan terbaharunya, Godfrey mengatakan bahawa lebih 200 pautan WSPRnet ‘adalah calon untuk pengesanan MH370’.
Namun, penyiasat lain yang telah menumpukan banyak masa dan kepakaran berkaitan pencarian MH370 tidak mendapati kaedah yang dikatakan Godfrey boleh dipercayai.

Salah seorang ahli Independent Group (IG) MH370 yang terdiri daripada jurutera dan saintis yang telah banyak membantu pihak berkuasa dalam usaha menentukan kedudukan MH370, Don Thompson berkata, sekumpulan penyumbang telah menganalisis data WSPRnet dan tidak menemui apa-apa maklumat yang boleh diklasifikasikan sebagai pengesanan pesawat terbabit.
“Usaha-usaha tersebut gagal mengenal pasti lokasi baharu di lautan tersebut untuk dicari oleh kru,” kata Thompson kepada Aviation International News (AIN).
Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dalam satu kenyataan bulan lalu juga menyatakan, kesediaan bekerjasama dengan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) mengenai kajian mereka berhubung dokumen dikeluarkan Godfrey yang mendakwa terdapat petunjuk baharu dalam mengenal pasti lokasi pesawat MH370 yang hilang.
MOT memaklumkan kementerian mengambil maklum ATSB sedang meneliti data baharu dikeluarkan Godfrey, namun tidak boleh mengulas lanjut secara terperinci tentang kesahihan penilaian itu tanpa semakan dan pengesahan pihak ketiga.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, Malaysia tidak boleh bertindak secara unilateral dalam usaha pencarian MH370, sebaliknya perlu berbincang dengan kerajaan China dan Australia seperti perjanjian yang dibuat tiga negara itu dalam misi pencarian.
“Sekiranya terdapat bukti yang boleh dipercayai, bukti kukuh, maka kita tidak keberatan untuk teruskan (misi pencarian),” katanya.
















