KLANG – SugarBomb Worldwide Sdn. Bhd. pengeluar produk wangian berjenama SugarBomb, telah memiliki kilang dan gudangnya sendiri di Meru dekat sini selepas lima tahun bergelut membangunkan empayar perniagaannya darpada i peringkat bawah.
Kilang di kawasan seluas 1.2 hektar itu telah mula beroperasi sejak lima bulan lalu turut dilengkapi dengan mesin bancuhan minyak wangi dan juga kumpulan kajian dan pembangunan.
Melaluinya, syarikat mampu menghasilkan sehingga tiga juta botol wangian pelbagai rangkaian setiap bulan.
Pengasas dan Pengarah Urusan syarikat, Ahmad Azhari Rosli berkata, melalui premis kilang dan gudang, syarikat dapat menambah rangkaian produk sedia adanya yang sebelum ini hanya tertumpu pada segmen minyak wangi dan juga penyegar udara.
“Sekarang kami ada segmen produk sanitasi tangan dan penyegar fabrik, dan sebagainya.

“Kami berjaya membuktikan syarikat bumiputera juga mampu untuk memiliki kilang dan mengeluarkan lebih banyak produk wangian yang berkualiti, tahun ini juga kami akan membuka pintu untuk menghasilkan produk yang seangkatan daripada jenama pesaing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian kilang oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dekat sini baru-baru ini.
Ahmad Azhari menjelaskan, buat masa ini, jenama SugarBomb telah memiliki sejumlah 5,000 pengedar di seluruh negara termasuk di Brunei dan Singapura.
“Kami mengalu-alukan penyertaan lebih ramai usahawan baharu dalam bidang perniagaan ini kerana ia bukanlah satu produk wangian berjenama mahal atau premium.
“Dengan harga serendah RM10 hingga RM59, ramai mampu menjana pendapatan lumayan bergantung kepada usaha masing-masing.
“Melalui komitmen pengedar pada tahun ini, syarikat mengunjurkan jualan sehingga RM70 juta,” jelasnya.














