ISTERI mana yang mahu melihat suaminya menjadi seorang penagih dadah tegar dan sukar melupakan bahan terlarang tersebut.
Sesungguhnya dadah bukan sahaja memusnahkan diri sendiri, tetapi juga orang lain termasuk institusi keluarga yang dibina dengan ikatan kasih sayang.
Itu yang berlaku kepada seorang isteri yang memberi peluang kepada suaminya untuk berubah dan meninggalkan bahan terlarang itu.
Bagaimanapun suaminya tidak mahu pernah mendengar nasihatnya dan akhirnya wanita itu tidak mempunyai pilihan lain selain menuntut fasakh di mahkamah syariah.
————————————————————————————————————————————————————-
REMUK hati saya saat pertama kali mengetahui bahawa suami tercinta terlibat dalam penyalahgunaan dadah.”
Itulah luahan rasa seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Siti.
Siti tidak menyangka sama sekali bahawa suaminya yang dikenali sebagai Man itu akan terlibat dengan benda haram tersebut.
Akuinya, sepanjang mereka bercinta, suaminya langsung tidak menunjukkan ciri-ciri seorang penagih dadah.
Namun, setelah hampir setahun berkahwin dan dikurniakan dengan seorang cahaya mata, Siti akhirnya menyedari bahawa suaminya itu terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Saya mula mengetahui suami saya terlibat dengan perkara ini ketika saya membawa keretanya ke kedai cuci kereta.
“Pekerja yang membasuh kereta menjumpai suatu alat di dalam kereta dan dia bertanya adakah saya hendak menyimpan atau membuangnya,” ceritanya kepada K2.
Tambah Siti, dia tidak mengetahui apakah alat tersebut dan merasakan itu milik suaminya. Siti lantas bertanyakan kepada pekerja itu tentang alat yang dijumpainya itu sebenarnya apa.
Pekerja di situ menyatakan alat itu kebiasaannya digunakan untuk menghisap syabu yang merupakan sejenis dadah.
“Saya begitu terperanjat apabila dia berkata sedemikian. Saya lantas mengambil alat itu dan membawa alat itu pulang untuk ditunjukkan kepada suami saya,” jelasnya.
Sebaik sahaja tiba di rumah, Siti menunjukkan alat tersebut dan meminta penjelasan daripada suaminya.
Suaminya menunjukkan riak wajah terkejut dan menjelaskan bahawa alat itu adalah milik rakannya. Suaminya menafikan bahawa dirinya terlibat dengan dadah dan lelaki itu mengambil alat tersebut kononnya untuk dibuang.

– GAMBAR HIASAN
Siti meragui penjelasan tersebut kerana dia boleh merasakan bahawa suaminya itu telah berbohong kepadanya.
“Saya kemudian mengambil keputusan untuk membaca dan mencari maklumat tentang tanda-tanda pengambilan syabu.
Setelah membaca maklumat tersebut di internet saya mendapati ciri-ciri tersebut memang ada pada suami saya.
“Antara ciri yang ada pada suami saya ialah tidak boleh tidur malam, banyak bercakap daripada kebiasaan dan susut berat badan,” katanya.
Siti turut menyedari kerap juga suaminya itu keluar untuk bertemu dengan rakan pada waktu malam. Dia percaya pada waktu itulah suaminya mengambil kesempatan untuk menghisap dadah.
Siti berterusan memburu penjelasan tetapi suaminya tetap tidak mengaku mengambil dadah.
Kemudian, pada suatu hari, ketika Siti ingin membasuh pakaian milik suami, dia terjumpa satu bungkusan plastik kecil. Siti percaya bahawa ia adalah dadah syabu.
“Apabila suami saya balik saya menunjukkan bungkusan itu kepadanya. Pada mulanya dia menafikan bahawa itu adalah dadah. Dia merampas bungkusan kecil itu daripada tangan saya dan kami kemudiannya bergaduh. Ketika bergaduh itu tidak semena-mena dia menampar saya,” katanya.
Setelah berterusan diberikan tekanan, suaminya akhirnya mengakui bahawa dia ada mengambil dadah sekadar suka-suka.
Siti menceritakan perihal itu kepada keluarga mertuanya. Siti begitu terkejut apabila keluarga mentuanya mengetahui bahawa anak mereka terlibat dengan dadah tetapi mereka juga tidak boleh berbuat apa-apa.
“Saya kemudian berbincang dengan keluarga saya, suami dan keluarga mentua dan bersetuju memberinya peluang untuk berubah,” katanya.
Hampir setahun peluang itu diberikan, namun suaminya itu tidak berubah. Malah mereka sering bergaduh dan suaminya juga cepat naik baran.
Akhirnya, demi anak, Siti mengambil keputusan memohon perceraian secara fasakh.
“Saya tidak mahu anak saya nanti digelar rakan-rakannya sebagai anak penagih.
“Atas sebab ini juga saya memohon fasakh. Selepas beberapa kali naik turun mahkamah, akhirnya kami sah bercerai,” jelasnya.
Setelah berpisah dengan bekas suaminya itu, Siti akhirnya memulakan kehidupan baharu dan dia telah berkahwin dengan rakan sekolahnya.
Kini dia merasakan kehidupannya lebih bahagia.
Dia juga mendengar cerita bahawa bekas suaminya itu telah dihantar oleh keluarganya ke pusat pemulihan bagi mengatasi masalah tersebut.














