TIDAK keterlaluan rasanya jika penulis katakan bahawa setiap kali menjengah ke aplikasi sosial paling hangat mutakhir ini seperti TikTok dan Instagram, kita pasti akan melihat wajah pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar yang semakin meniti popular dengan jumlah pengikut lebih setengah juta di Instagram.
Potongan ceramah Wadi Annuar yang penuh dengan pesanan serta nasihat akan disunting lalu dimuat naik dan dikongsi setiap hari oleh pengguna aplikasi video pendek itu.
Tarikan ceramah pendakwah berasal dari Kedah itu terletak pada tutur katanya yang santai, ringkas dan mudah difahami.
Malah, ada antara netizen yang memberitahu, perkongsian ilmu dan juga peringatan oleh Wadi Annuar tentang apa topik sekalipun mampu membuatkan mereka menitiskan air mata, sekali gus menjadikan keperibadiannya kian disanjungi.

Pemilik nama penuh Mohamad Wadi Annuar Ayub itu dilahirkan pada 20 September 1983 di Kota Kuala Muda, Kedah. Beliau turut dikenali dengan gelaran Ustaz Wadi Annuar atau UWA.
Berkongsi tentang permulaan kerjayanya sebagai seorang pendakwah terkenal, Wadi Annuar berkata, dia sebelum ini bertugas sebagai seorang guru agama di sekolah-sekolah menengah swasta dan sekolah agama bantuan kerajaan sebelum mula menerima jemputan bagi menyampaikan ceramah di kaca-kaca televisyen.
“Saya mula menerima jemputan daripada beberapa saluran televisyen tempatan untuk program-program yang dianjurkan bermula tahun 2018 dan daripada situ, nama saya semakin dikenali sehinggalah kini,” tuturnya kepada K2.
Selain bergiat aktif sebagai pendakwah bebas, Wadi Annuar juga merupakan pengasas kepada institusi pendidikan dan kebajikan, Akademi Darul Iftak (ADI) yang terletak di Sungai Petani, Kedah.
Akademi
Menurut Wadi Annuar, akademi itu ditubuhkan bertujuan melahirkan ilmuwan Islam berprestasi tinggi.
“Apabila bercakap tentang akademi sebegini, lazimnya ia dikaitkan sebagai ‘pusat longgokan’ pelajar-pelajar bermasalah.
“Namun, ADI bukanlah pusat sedemikian kerana ia ditubuhkan dengan pelajar-pelajarnya dipilih melalui tapisan yang sangat ketat, di mana calon pelajar perlu menjalani proses temu duga selama tiga hari.
“Selepas diterima masuk, pelajar perlu menghabiskan hafazan al-Quran selama dua tahun, hafazan sekitar seribu hadis selama dua tahun, pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pengajian kitab turath dalam bahasa Arab dan diakhiri dengan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di ADI,” katanya.

Memandangkan kini para pelajar ADI, akademi yang ditubuhkan pada 2018 masih di peringkat awal pengajian, Wadi Annuar berharap agar dengan penubuhan ADI yang pertama menggunakan modul sedemikian mampu menawarkan pelajar negara ini pengajian kitab turath peringkat tinggi tanpa perlu menuntut di luar negara seperti Mesir dan Maghribi kelak.
Pengalaman sebagai seorang guru sekolah menengah dalam bidang-bidang seperti bahasa Arab, syariah, al-Quran dan sunah serta pengalaman mengajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dalam bidang nahu, ‘arudh dan balaghah menjadikan Wadi Annuar berkebolehan menggarap sendiri modul yang dipilih untuk akademi miliknya itu.
Selepas kian dikenali, Wadi Annuar yang memiliki sekitar 670,000 pengikut di Instagram miliknya berkongsi bahawa populariti dikecapinya di media sosial itu telah menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan dengan menggunakan namanya atas tujuan meraih publisiti.
Cabaran
Wadi Annuar menegaskan bahawa dia berharap orang ramai tidak begitu taksub dalam menggunakan nama dan wajahnya atas tujuan yang tidak sepatutnya seperti mempromosikan sesuatu yang bersifat palsu.
“Antara cabaran sebagai individu yang dikenali menerusi media sosial dan mempunyai ramai pengikut adalah wajah dan nama saya sering digunakan oleh pihak-pihak tertentu bagi mencipta akaun palsu atau mempromosikan sesuatu produk.
“Malah, ada yang berani meletakkan perkataan ‘official’ pada akaun-akaun palsu itu atas tujuan memperdaya pengikut saya. Saya mohon pihak tersebut segera menghentikan perbuatan itu dan berhentilah mencari publisiti dengan cara menipu,” katanya yang kurang gemar berkongsi hal peribadi melainkan kerjaya dakwahnya.

Wadi Annuar mengakui, dia juga tidak terlepas daripada diuji sepanjang bergelar pendakwah bebas.
Antara ujian getir paling diingatinya adalah kemalangan jalan raya pada Januari 2018 selepas pulang dari satu program dakwah yang hampir meragut nyawanya.
“Pun begitu, kemalangan tersebut juga telah menyebabkan nama saya semakin dikenali memandangkan sebulan sebelum ia berlaku, saya baru menyelesaikan satu rakaman televisyen.
“Kemalangan itu juga merupakan antara peristiwa pahit yang masih meninggalkan kesan terhadap kesihatan saya sehingga hari ini,” ujarnya berterus terang.
Buku
Malah, Wadi Annuar turut diuji ketika mahu menubuhkan ADI apabila penduduk kampung pernah melemparkan kata-kata makian dan tuduhan tidak berasas.
“Saya pernah berdepan situasi di mana lori yang membawa masuk peralatan pembangunan untuk ADI ditahan penduduk kampung yang enggan membenarkan saya menubuhkan akademi itu dan melemparkan bermacam-macam tuduhan kepada saya.
“Namun, alhamdulillah, semuanya berjaya dilalui dan akhirnya ADI berjaya dibangunkan dengan menelan belanja sebanyak RM8 juta,” katanya.
Bercakap tentang pendakwah, perkara paling kerap dikaitkan dengan insan sebegini adalah penulisan buku.
“Sebenarnya saya sudah pun menulis dan menerbitkan sebuah buku bertajuk Andai Umat Ini Seperti Umar, namun saya belum berkesempatan menguar-uarkan tentang buku tersebut akibat jadual kerja yang terlalu padat.
“Sekiranya berkelapangan, saya berhasrat untuk terus menulis buku memandangkan dalam minda ini, saya sudah pun memikirkan puluhan tajuk buku yang boleh dikarang,” katanya mengakhiri bicara.















