fbpx

Hoki: THT julang Piala Sumbangsih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain dan kejurulatihan THT meraikan kejayaan menjuarai Piala Sumbangsih. - MHC

KUALA LUMPUR – Pasukan Hoki Terengganu (THT) berjaya mengesahkan kejuaraan Piala Sumbangsih 2022 dalam aksi pembuka tirai saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.

Kejayaan itu hadir selepas THT menampilkan aksi dalam kelas tersendiri untuk menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-2 pada aksi Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Bukan sahaja menjulang trofi tetapi THT turut berjaya membawa pulang tiga mata berharga sekali gus berada dalam landasan tepat untuk memburu kejuaraan MHL pula selepas ini.

Dalam aksi itu, THT bermula garang dengan membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Faizal Saari.

FAIZAL (depan) menjaringkan dua gol buat THT menewaskan TNB 3-2 pada aksi Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Nasional sebentar tadi. – MHC

TNB mempunyai satu peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan melalui percubaan Muhammad Shahril Saabah tetapi ia berjaya dipatahkan oleh penjaga gol THT, Muhammad Hafizuddin Othman berselang tujuh minit kemudian.

Usaha skuad bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin itu mencari gol penyamaan masih menemui jalan buntu apabila segala serangan balas dilakukan berjaya dipatahkan oleh benteng pertahanan THT.

Sebaliknya, THT berjaya menggandakan kedudukan sekali lagi menerusi Faizal yang tidak mensia-siakan kesempatan diberikan penalti stroke pada minit ke-35.

ARIF SYAFIE (kanan) turut mencetak nama selaku penjaring gol buat THT pada aksi Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Nasional sebentar tadi. – MHC

Pengadil perlawanan menganugerahkan penalti stroke itu selepas bola daripada pukulan sudut penalti Muhammad Arif Syafie Ishak terkena muka kapten TNB, Faiz Helmi Jali.

Pasukan kendalian Roslan Jamaluddin itu memastikan kedudukan lebih selesa apabila kali ini giliran Arif Syafie pula menyudahkan pukulan sudut penalti untuk meledak gol ketiga pada minit ke-40.

Biarpun TNB bangkit dengan dua gol dalam tempoh tujuh minit melalui Muhammad Najib Abu Hassan dan Faiz Helmi pada minit ke-45 serta 52, tetapi ia sudah terlambat apabila kedudukan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

THT yang kini memburu dua lagi gelaran musim ini, akan meneruskan aksi kedua MHL bertemu TNB Thunderbolts pada Ahad, manakala perlawanan seterusnya buat TNB adalah menentang skuad pembangunan pada Selasa ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI