fbpx
ELYANA mengakui kehidupannya berubah sepenuhnya selepas disahkan menghidap kanser limfoma 11 tahun lalu.

‘Saya diberi peluang kedua untuk hidup’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Selama 11 tahun berjuang melawan kanser limfoma, penyanyi terkenal, El­yana tetap cekal melalui dugaan terbesar dalam hidupnya, sekalipun pernah berputus asa untuk meneruskan kehidupan.

Elyana atau nama lengkap­nya Erneelya Elyana Emrizal, 35, berkata, sepanjang mendapatkan rawatan penyakit ber­kenaan, dia pernah dimaklumkan oleh salah seorang doktor bahawa jangka hayatnya untuk hidup hanya boleh bertahan selama tujuh bulan.

Kata Elyana, khabar buruk itu telah memberi tekanan besar kepada dirinya, sehinggakan dia pernah reda dengan takdir seandainya nyawa dijemput Ilahi.

“Fasa pertama apabila saya disahkan menghidap kanser apabila segala keyakinan diri hilang. Paling saya tidak boleh terima apabila dimaklumkan oleh salah seorang doktor bahawa saya ­hanya mampu hidup selama tujuh bulan,” katanya.

Mengimbas kembali detik hitam kali pertama dibe­ritahu menghidap kanser 11 tahun lalu, pelantun lagu Tak Tercapai Akalmu itu tidak menangis, namun tertanya-tanya tentang masa depan suami serta anak sulung­nya, Cinta Sumayyah yang ketika itu baharu berusia enam bulan.

“Ketika bertemu dengan doktor untuk melakukan pemeriksaan, saya tahu sakit yang saya dialami bukanlah sakit biasa. Terdapat bonjol di leher saya ketika itu.

“Apabila doktor memaklumkan saya menghidap kanser limfoma tahap dua, saya sedikit terkejut, namun sentiasa bersedia,” ujarnya.

Kanser limfoma merupakan sejenis kanser sel darah putih yang boleh ditemui di beberapa organ badan seperti nod limfa, tulang sumsum, limpa dan lain-lain lagi.

Mengulas lanjut, Elyana menjelaskan, dia kemudian telah melalui sesi kemoterapi pertama dan bersedia untuk menerima kenyataan bahawa hidupnya akan berubah.

Mengakui rawatan kemoterapi yang dijalaninya cukup menya­kitkan, penyanyi itu pernah membuat keputusan untuk tidak lagi meneruskan sesi rawatan dan berserah pada takdir yang menentukan hidupnya.

Akibatnya, Elyana ‘lumpuh’ apabila tidak boleh berjalan kerana menanggung rasa sakit daripada aras pinggang sehingga kaki.

“Ketika itulah saya hilang kewarasan dan meracau-racau sehingga perlu dibawa ke hospital. Saya tidak sedar ketika itu saya menjerit-jerit dan mengamuk selama dua hari.

“Doktor terpaksa suntik saya dengan ubat penenang kerana saya hilang kawalan sehingga terkencing dalam seluar,” imbasnya.

Dedah penyanyi yang turut mencipta nama dalam bidang lakonan itu lagi, dugaan yang dialaminya bukan semata-mata disebabkan kanser.

Elyana memberitahu, dia pernah menjalani pembedahan membuang tiup fallopio kanannya, sekali gus menyekat keinginan untuk hamil sekali lagi.

“Sebenarnya, ketika menghidap kanser, saya pernah hamil sebanyak dua kali, namun terpaksa digugurkan sebab ketika itu saya sedang dalam rawatan. Saya sangat sedih sebenarnya,” ujar Elyana.

Bagaimanapun, segala pen­deritaan yang dialaminya selama 11 tahun berakhir selepas Elyana disahkan doktor telah bebas da­ripada kanser pada 7 Disember 2021 lalu.

Menganggap perkara tersebut sebagai satu keajaiban, Elyana bersyukur kerana masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan, sekali gus menjadi contoh kepada pejuang kanser lain supaya tidak mudah berputus asa.

“Kepada semua pejuang kanser, jangan cepat putus asa. Semangat itu kena ada. Semua orang alami masalah ­berlainan. Jangan fikir sangat tentang masalah itu. Paling penting perbanyakkan doa dan dekati orang-orang positif,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN