PETALING JAYA – Kira-kira 80 peratus madu terutamanya jenis kelulut sama ada produk tempatan atau import yang dijual di pasaran negara ini didapati adalah tiruan hasil daripada kajian yang dijalankan oleh pelbagai agensi berkaitan.
Situasi itu menyebabkan orang ramai perlu berfikir berkali-kali sebelum membeli madu kerana mereka bakal terdedah dengan risiko penyakit sekiranya terbeli madu tiruan yang mengandungi gula tebu dan air gula Melaka yang berlebihan.
Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Makanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Norra Ismail berkata, pihaknya mendapati terlalu banyak madu tiruan dijual terutamanya madu kelulut.
Menurutanya, harga madu kelulut tiruan jauh lebih murah berbanding madu asli.
“Jika madu kelulut asli, harga sebenarnya akan lebih mahal berbanding madu lebah.
“Oleh itu, pembeli jangan mudah tertipu dengan tawaran harga murah oleh penjual kerana hasil ujian, 80 peratus madu yang dijual adalah tiruan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Madu kelulut tiruan kebiasaannya dijual pada harga lebih murah iaitu antara RM15 hingga RM25 bagi 100 milliliter (ml) berbanding madu kelulut asli RM40.
Bagi madu lebah tiruan pula ditawarkan pada harga sekitar RM30 untuk botol bersaiz 660ml berbanding madu lebah asli melebihi RM50.
Norra memberitahu, bagi mengelakkan lebih ramai pengguna daripada terus menjadi mangsa penipuan, MARDI kini dalam peringkat akhir membangunkan kit uji ketulenan madu.

Katanya, kit pantas itu mampu mencapai keberkesanan ujian ketulenan madu lebah dan juga kelulut melebihi 90 peratus dan boleh mengesan madu yang telah dicampur dengan bahan lain yang dikenali sebagai adulterasi.
“Ketika ini, kit tersebut dalam proses akhir peringkat ujian makmal dan akan mula digunakan oleh MARDI selepas mendapat persetujuan daripada pihak kementerian.
“Setakat ini, ujian makmal mendapati, kit tersebut dapat menguji dan membezakan antara madu kelulut, madu lebah yang asli dengan madu tiruan.
“Buat masa ini, kita sedang menguji kit pada peranti mudah alih untuk kegunaan di lapangan dan menunggu kelulusan pengurusan atasan MARDI sebelum dapat digunakan oleh pengguna,” ujarnya.
Norra berkata, MARDI juga telah membangunkan satu standard berkaitan madu kelulut (MS2683:2017) bagi menjaga kualiti serta mengekang penjualan madu tiruan di pasaran.
“Menerusi standard ini, kita akan menguji peratus kandungan kelembapan, kandungan gula serta beberapa parameter kualiti berkaitan madu kelulut itu sebelum ia boleh dipasarkan,” katanya.
















