MELAKA – Demi mendapatkan upah RM200, seorang juruteknik sanggup memperjudikan nasib menjadi ‘transporter’ membawa rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM40,000 dari negeri ini ke Kuala Lumpur, semalam.
Pergerakan lelaki berusia 39 tahun itu bagaimanapun berjaya dikesan dan diberkas polis kira-kira pukul 3.30 petang di Taman Botanikal, Ayer Keroh, di sini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek diberkas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Melaka Tengah.
“Hasil maklumat awam, polis telah mengekori dan menahan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Inova dipandu suspek berhampiran Taman Botanikal, Ayer Keroh.
“Pemeriksaan dalam kenderaan telah menjumpai 492 karton mengandungi 73,056 batang rokok dipercayai tanpa cukai untuk dihantar ke Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, hasil soal siasat suspek mendakwa dia hanya bertindak sebagai transporter dan segala urusan penghantaran itu dilakukan mengikut arahan diberikan individu tidak dikenali menerusi telefon.
“Dia yang bekerja dan menetap di Kuala Lumpur telah datang ke Melaka untuk mengambil MPV tersebut yang diparkir di kawasan Malim dan membawanya ke pusat bandar, seperti diarahkan.
“Suspek juga mengaku menerima upah RM200 bagi setiap penghantaran ke Kuala Lumpur dan telah melakukan kerja itu sejak Oktober tahun lalu,” katanya.
Tambahnya, lokasi penghantaran rokok itu bagaimanapun hanya diberikan kepada suspek selepas kenderaan itu berjaya melepasi Plaza Tol Sungai Besi.
Katanya, suspek kini direman selama tiga hari sehingga 19 Februari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE