PETALING JAYA – Rata-rata ibu tunggal berpendirian bahawa mereka lebih selesa hidup bersendirian tanpa memikirkan untuk berkahwin lain.
Seorang wanita dikenali sebagai Ainur Zaidi berkata, kebanyakan ibu tunggal yang berusia 40 tahun dan ke atas lebih memilih untuk hidup sendiri dan bahagia bersama anak-anak dan cucu.
“Ibu tunggal berusia 40 tahun ke atas lebih utamakan keluarga, anak-anak dan cucu daripada cari suami baru,” katanya dalam komen yang ditinggalkan di laman sosial Kosmo! Online semalam.
Bagi Fatimah Syed Ali, dia lebih selesa meneruskan kehidupan bersama dua anaknya selepas kematian suami dua tahun lalu.
“Saya fokus jaga dua orang anak dan tidak berdepan masalah untuk teruskan hidup tanpa suami dan saya sendiri tak fikir untuk kahwin lain,” kongsinya di ruangan komen.
Sementara itu, Sary Saharif pula menulis, ada wanita memilih untuk bercerai disebabkan sikap bekas suami yang tidak bertanggungjawab.
“Jika diberi pilihan, kami pun tidak mahu bergelar ibu tunggal, tapi bila dapat suami yang tidak bertanggungjawab, semua isteri kena tanggung, rasanya tak perlu ada suami macam itu.
“Bukan mudah untuk kami sebagai isteri nak tanggung semua keperluan keluarga, anak-anak secara solo,” luahnya.
Dalam pada itu, Silvia Kim Kim mencadangkan agar ibu tunggal lebih fokus kepada membesarkan anak-anak berbanding mencari pasangan hidup baharu.
“Anak-anak akan jaga kamu semula. Fikir baik-baik sebelum anda jadi janda buat kali kedua jika dapat pasangan yang bermasalah,” katanya.















