PETALING JAYA – Khabar angin mengenai pelakon jelita Nelydia Senrose sudah berhijab seperti semakin terjawab selepas tampil dengan imej tersebut ketika melancong ke luar negara semalam.
Imej sopan pelakon drama Cinta Sekali Lagi itu sekali gus mengundang tanda tanya ramai netizen khususnya peminatnya sama ada dia sudah berhijab sepenuhnya atau sebaliknya.
“Assalamualaikum. Sangat teruja untuk percutian kali ini. Cuba teka saya pergi mana,” kata pemilik nama penuh Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 28, berkenaan.
Bagaimanapun, adik kepada aktres terkenal, Uqasha Senrose itu tidak berkongsi lanjut mengenai imej berhijab yang ditampilnya itu.
Dalam pada itu, rata-rata pengikut Instagramnya termasuk beberapa rakan selebriti turut memuji kejelitaannya berhijab.
Kebanyakan mereka mendoakan agar Nelydia kekal istiqamah dengan imej tersebut.
“Baby! Masya-Allah cantiknya bidadari syurga saya ini,” komen pelakon, Aprena Manrose yang juga sepupu Nelydia.
“Cantiknya. Semoga terus istiqamah dengan imej tersebut Nelydia,” kata seorang pengikut Instagramnya.
Terdahulu, Kosmo! pada 9 Februari lalu melaporkan Nelydia menjadi bahan bualan ramai apabila ada yang mendakwa dia sudah bertudung selepas pulang daripada menunaikan umrah baru-baru ini.
Sekitar hujung tahun lalu, Nelydia yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berpeluang ke Tanah Suci Mekah untuk mengerjakan umrah bersama keluarga tersayang termasuk kakak kandungnya, Uqasha Senrose.
Nelydia, 28, berkahwin dengan seorang ahli perniagaan bernama Mohd. Hafez Halimi Abdul Hamid pada April 2019 dengan sekali lafaz. – KOSMO! ONLINE















