PETALING JAYA – Kebenaran permit import (AP) ayam yang diberikan kepada pasar raya besar bagi mengimbangi keperluan ayam di negara ini dibimbangi masih tidak dapat menampung bekalan ternakan itu menjelang Ramadan ini.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holding, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, ketika ini pihaknya sedang mempertimbangkan harga paling murah daripada beberapa pengeluar ayam proses antaranya China, Thailand dan Brazil.
“Proses ini memakan masa yang agak lama kira-kira dua bulan. Kebenaran AP ini pula hanya dibenarkan sehingga Mei ini.
“Proses menjadi lama kerana kita hanya boleh mengambil stok ayam dari beberapa negara sahaja, pihak kami memerlukan masa dua bulan kerana jarak negara-negara terlibat agak jauh.
“Saya harap status halal yang dinilai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu diperluaskan kepada beberapa negara lain supaya kita mempunyai lebih banyak pilihan terutamanya dari negara Asia Barat,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut beliau, harga pembekal di beberapa negara itu juga agak tinggi dan kebenaran AP yang diperoleh pihaknya juga hanya tertumpu kepada ayam bulat.
Jelas beliau, AP yang diberikan oleh kerajaan dikhaskan kepada ayam bulat bukannya bahagian-bahagian ayam yang lain seperti paha dan kepak sekali gus dibimbangi tidak dapat menampung permintaan pengguna di negara ini.
“Harga ayam segar menjadi tinggi kerana pembekal luar negara akan memainkan harga kerana mereka tahu kita memerlukan stok dan jumlahnya terhad kepada beberapa negara sahaja.
“Oleh itu, pihak Jakim perlu membuat penilaian di beberapa negara lain lagi terutamanya negara Asia Barat dalam menyelesaikan masalah harga serta bekalan ayam ini,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan kerajaan akan mempertimbangkan kebenaran import ayam standard sejuk beku sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dilaporkan berkata, kebenaran mengimport ayam standard sejuk beku tersebut adalah bagi menampung kekurangan bekalan ayam di pasaran ketika ini.
Langkah intervensi itu dibuat selaras pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini sekali gus memastikan bekalan ayam dalam pasaran sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan.
Keperluan ayam dalam negara adalah 3,762 tan metrik (2.09 juta ekor) sehari atau 113,220 tan metrik (62.9 juta ekor) sebulan.
Baru-baru ini, beberapa pengusaha ternakan ayam terpaksa mengambil langkah mengurangkan bekalan haiwan itu yang dipelihara di ladang bagi mengurangkan kos operasi termasuk harga dedak yang semakin meningkat.














