fbpx

Negara mampu capai pertumbuhan tiga peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku keempat tahun 2021 dilihat mampu mencapai pertumbuhan kukuh, dianggarkan pada kadar sekitar tiga peratus.

Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ini bersandarkan kepada petunjuk positif dalam beberapa sektor utama negara yang mencatat pertumbuhan menggalakkan.

“Saya lihat unjuran pertumbuhan positif dalam  lingkungan tiga peratus adalah satu angka yang  realistik, berikutan beberapa siri pertumbuhan merangkumi pelbagai sektor yang dilaporkan Jabatan Perangkaan pada suku keempat.

“Antaranya jumlah jualan sektor perkhidmatan telah menunjukkan peningkatan 5.3 peratus kepada RM460 bilion, manakala jualan sektor pembuatan pula meningkat 15.5 peratus pada Disember lalu kepada RM143.9 bilion.

“Selain itu, perdagangan borong dan runcit juga merekodkan pertumbuhan empat peratus bagi keseluruhan tahun 2021 untuk merekodkan jualan sebanyak RM1.3 trilion,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun lepas, KDNK Malaysia meningkat sebanyak tiga peratus, berbanding penurunan 6.4 peratus dalam tempoh sama tahun 2020.

Sementara itu, Ahmed Razman optimis bagi tahun 2022 dijangka bakal menyaksikan ekonomi Malaysia terus pulih meskipun kadar jangkitan Covid-19 telah memperlihatkan peningkatan sehingga mencapai paras lima angka setiap hari.

“Antara indikator penting yang boleh dirujuk ialah meskipun jangkitan meningkat, penggunaan ventilator, katil hospital dan wad unit rawatan rapi kekal rendah, menunjukkan sektor kesihatan kita telah mampu menampung peningkatan kes dengan peratusan vaksinasi yang tinggi.

“Risiko dalaman lain yang berpotensi menganggu pertumbuhan ialah faktor politik, termasuk jangkaan pilihan raya umum pada tahun ini.

“Sekiranya kerajaan yang stabil gagal dibentuk, saya khuatir pelbagai dasar dan polisi yang telah dilaksanakan untuk memulihkan ekonomi boleh terjejas,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI